Pihak polis sedang menyiapkan siasatan mengenai kebocoran surat Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kepada timbalan pendakwa raya kira-kira 72 jam selepas sebuah laporan polis dibuat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun memberitahu pemberita kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya esok.

Ketika ditanya mengenai siapa yang membocorkan surat itu, Fuzi enggan memberi butiran penyiasatan polis.

Pada Selasa lalu, bekas ketua pengarah MEIO, Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan laporan polis berhubung surat kepada CIA menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Selepas membuat laporan polis itu, beliau juga memberitahu Malaysiakini bahawa, "surat itu tidak ada kaitan dengan (bekas perdana menteri Datuk Seri) Najib (Razak)."

Surat disemak 10 pegawai MEIO

Peguamnya, Shaharudin Ali berkata anak guamnya mahu polis menyiasat siapa yang membocorkan surat kepada CIA yang telah didraf dan disemak oleh sepuluh pegawai kanan MEIO.

Surat itu meminta kerajaan Amerika Syarikat menyokong Najib dan BN jika "menang tipis" pada pilihan raya umum ke-14.

Surat berkenaan juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai "anti-Barat".

Najib bagaimanapun menafikan mengetahu kewujudan surat itu mahupun dakwaan memberi arahan kepada Hasanah untuk menulis surat itu.

Malah, kata bekas perdana menteri, perkara seumpama itu adalah rahsia kerajaan.

Manakala itu, Fuzi menjelaskan polis masih menjejaki keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan berkata beberapa negara tidak memberi maklum balas bagi membantu pihak polis melalui Interpol.

"Beberapa negara memberi makluman dia tiada di negara mereka, beberapa negara pula tidak langsung memberi sebarang maklum balas walaupun kami telah menghantar surat kepada mereka," katanya.

Terdapat juga dakwaan suarat berkenaan merupakan perbuatan khianat kepada negara tetapi telah disangkal peguam Hasanah yang berkata menjadi perkara biasa MEIO dan CIA bertukar-tukar maklumat.