Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid: Hakim perlu keberanian, bukan kursus BTN

Hakim mahkamah tidak seharusnya dikerahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara, kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Mengulas jawapan yang diberikan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) semalam, beliau berkata hakim tidak memerlukan kursus berkenaan "semangat berpasukan".

"Hakim perlu berani dan fikiran yang bebas. Semua ini tiada dalam kurikulum BTN dan saya harap ketua pendaftar dapat menjelaskan mengapa mereka perlu hadir," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Zaid membangkitkan tentang hakim Mahkamah Sesyen Zaman Mohd Noor yang dipindahkan selepas membebaskannya daripada dakwaan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dituduh membuat komen jelik terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mempersoalkan sama ada pemindahan itu kebetulan atau dibuat kerana Zaman membuat keputusan berani untuk membebaskannya.

"Mahkamah perlu telus dan menjelaskan perkara ini bagi mengekalkan integriti kehakiman. Sebagai bekas menteri yang bertanggungjawab dalam sistem kehakiman dan sangat utamakan soal keadilan, saya khuatir tentang pemindahannya secara tiba-tiba."

Minggu lalu, kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan mengapa hakim mahkamah sesyen seluruh negara perlu menjalani kursus BTN, beberapa bulan sebelum PRU ke-14.

PKPMP menjawab bahawa masa kursus itu diadakan hanya kebetulan dan ia tidak berbentuk politik mahupun untuk "mendoktrinkan hakim".

"Modul yang dirangka untuk kursus itu bukan bawah tanggungjawab BTN sahaja tetapi juga PKPMP, katanya dalam kenyataan semalam.

"Modul yang dirancang bagi kursus ini adalah di bawah seliaan PKPMP dan bukan BTN sepenuhnya. Modul kursus ini adalah berbentuk team-building dan generic bagi meningkatkan semangat patriotisme, menerapkan semangat kerja berpasukan dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga PKPMP.

"Ingin ditegaskan bahawa modul yang dirancang bukan berunsurkan politik dan bukan bertujuan bagi mengdoktrinkan pemikiran hakim-hakim," kata PKPMP lagi.
 

Lihat Komen
ADS