Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat bumiputera tetap diutamakan dalam tender terbuka
Diterbitkan:  Aug 2, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

PARLIMEN | Kerajaan tetap mengekalkan dasar memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera walaupun mengamalkan dasar tender terbuka dalam setiap projek persekutuan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan ia selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan sebelum ini.

Kata Guan Eng, Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera yang ditetapkan pada Perenggan 6 (iv) pekeliling Punca Kuasa, Prinsip dan Dasar Perolehan Kerajaan itu syarikat bumiputera diberikan keutamaan semasa membuat tawaran harga.

Ia katanya melibatkan bumiputera yang terlibat dalam pembuatan atau pengilangan, pengimport, anggota dewan perniagaan dan perusahaan Melayu serta kontraktor.

"Agensi kerajaan hendaklah memberikan keutamaan harga (margin of preference) antara 2.5 peratus hingga 10 peratus tertakluk kepada kategori peolehan serta nilai tender yang ditawarkan kerajaan," katanya.

Guan Eng berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Lim Lip Eng (HARAPAN-Kepong) yang bertanya mengenai isu kontraktor bumiputera.

Lip Eng meminta Guan Eng menyatakan secara teliti dasar tawaran tender terbuka untuk setiap projek persekutuan dan meminta penjelasanbahawa ia tidak akan meminggirkan bumiputera.

Kata Guan Eng kerajaan berusaha memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab, selain diurus secara terbuka, adil serta saksama.

"Berdasarkan peraturan perolehan yang berkuat kuasa, mana-mana nilai perolehan yang melebihi RM500,000 perlu dilaksanakan secara tender terbuka.

"Bagi memastikan proses ini dapat dijalankan dengan mematuhi semua peraturan dan prinsip yang ditetapkan, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat bertarikh 29 Jun 2018 untuk menerangkan kepada semua agensi kerajaan berkenaan penambahbaikan tadbir urus dan pelaksanaan perolehan kerajaan, termasuk penggunaan sistem e-Perolehan sepenuhnya dan perkhidmatan bukan perunding mulai 1 Jul 2018.

"Arahan penggunaan sepenuhnya sistem ini dibyat bagi memastikan perolehan yang dilaksanakan menjana faedah maksimum," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS