NGO Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa bahawa para hakim dan kakitangan mahkamah diwajibkan menghadiri "taklimat khas" mengenai rancangan Transformasi Negara 2050 (TN50) kerajaan BN, sebelum pilihan raya umum ke-14.

Ini selain kursus Biro Tatanegara (BTN) yang terpaksa dihadiri mereka, yang juga didedahkan oleh LFL sebelum ini.

LFL mengulas kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) yang berkata kursus kursus-kursus yang dianjurkan dengan kerjasama BTN itu bertujuan meningkatkan kerja berpasukan dan semangat patriotisme.

PKPMP juga berkata ia bukan bertujuan bagi mengdoktrinkan pemikiran hakim-hakim.

Mengulas kenyataan PKPMP itu, penasihat LFL, N Surendran menolak hujah mereka dan juga mempertikaikan jangka masa kursus itu yang diadakan sebelum pilihan raya umum sebagai satu "kebetulan".

"Kami juga boleh mendedahkan bahawa pada 27 Februari 2018, hanya beberapa minggu sebelum tiga kursus BTN diadakan, Pejabat Ketua Pendaftar juga mengarahkan para hakim, timbalan pendaftar dan pegawai kehakiman untuk menghadiri 'taklimat khas' Program TN50 (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak. Kehadiran adalah diwajibkan.

"TN50 dikritik secara meluas sebagai gimik politik Najib dan BN, dengan itu ia adalah aktiviti politik yang terang-terangan. Ia juga tidak ada kaitan untuk meningkatkan kemahiran atau tahap profesional badan kehakiman.

“Mengapa Bahagian Latihan Kehakiman Pejabat Ketua Pendaftar menganjurkan program sebegini?" soal Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

[Baca berita penuh]