Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini adalah cerah walaupun menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata keyakinan itu berdasarkan maklumat yang diterimanya sebelum hari penamaan calon semalam.

"Maklumat yang saya perolehi sebelum saya keluar negeri, menunjukkan harapan Barisan Nasional untuk menang adalah baik," katanya kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Kuala Lumpur.

Beliau kembali selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) selama tiga hari di Malta yang berakhir semalam.

Abdullah yang juga Presiden Umno berharap kedudukan BN akan bertambah baik menjelang pilihanraya kecil itu.

"Parti kita telah bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Tiga calon akan bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir iaitu calon BN Hanafi Mamat, calon PAS Hanifa Ahmad dan calon bebas Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar kerana kanser hati pada 31 Oktober lalu.