Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah masuk campur dalam urusan dalaman PKR.

Ia berikutan kewujudan rakaman suara mirip ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengkritik keras timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mahathir.

“Adakah anda lihat saya bercakap buruk mengenai Anwar atau Azmin atau orang lain?Ini parti mereka, saya tak campur tangan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata tidak tahu tentang kewujudan rakaman itu.

“Saya tak tahu, saya tak dengar. Dia tak pernah kata pun,” katanya yang juga pengerusi BERSATU.

Menurut laporan Malaysiakini hari ini, ada tiga rakaman pendek kurang 10 saat - dikatakan suara Anwar - yang antara lain menyifatkan Azmin sebagai "barua Mahathir".

Selain itu, suara dalam rakaman itu juga berkata dia menyuruh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melawan Azmin dalam pemilihan akan datang, serta mengkritik Mahathir kerana melantik diri sendiri sebagai pengerusi Khazanah Nasional.

Pemilihan PKR dijadual bermula beberapa minggu lagi dan Azmin masih belum memutuskan sama ada akan mempertahankan kerusi timbalan presiden atau mencabar Anwar bagi jawatan presiden.

Bagaimanapun pemimpin PKR - antaranya Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Tian Chua - berkata rakaman tersebut palsu.

'Bukan dapat gaji RM7 juta'

Azmin juga berkata beliau belum mendengar rakaman itu dan malah tidak tahu tentang perkara itu.

"Saya belum dengar, belum tengok. Saya tak tahu," katanya kepada pemberita.

Berhubung pelantikan Mahathir dan Azmin dalam lembaga pengarah Khazanah, anggota parlimen Langkawi itu berkata mereka mahu mengubah Khazanah dan mengembalikannya ke landasan betul.

"Kita cuba mengubah Khazanah agar menumpukan kepada beberapa perkara, kebanyakannya saya tahu dan pernah terlibat. Malah saya yang mulakan Khazanah.

“Apa masalah saya jadi pengerusi?Saya bukan jadi Ketua Pegawai Eksekutif, bukan saya yang akan dapat dan dibayar RM7 juta,” katanya lagi.