Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mendenda pengarah restoran Raj’s Banana Leaf di Bangsar, sebanyak RM5,000 kerana mengambil dua pekerja asing dari India tanpa memaklumkannya kepada Pejabat Tenaga Kerja (PTK).

Kedua-dua pekerja asing itu sebelum ini pada Mei lalu dirakamkan membasuh pinggan dengan air di lopak jalan raya, dan video berkenaan menjadi tular di media sosial.

Mohd Rizal Abdul Rahim, yang adalah pengarah Intercompass Sdn Bhd, syarikat yang memiliki restoran itu, mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan iaitu tidak memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja berhubung pengambilan kedua-dua pekerja asing itu.

Jabatan itu perlu dimaklumkan untuk tujuan merekod pembayaran gaji pekerja.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, syarikat itu didakwa sebagai majikan kepada C Suresh dan K Rajalingam kedua-duanya warganegara India berumur 30 tahun telah gagal melaporkan butir-butir tentang penggajian pekerja asing kepada PTK yang terdekat dalam tempoh 14 hari setelah pengambilan pekerja-pekerja asing tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di PTK Tingkat 9, Menara Perkeso Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 11 pagi, 22 Jan lalu.

Pertuduhan itu adalah mengikut seksyen 60K (1) Akta Kerja 1955, dan majikan boleh dihukum di bawah Seksyen 60K(5) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000.

Majistret Wong Chai Sim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan itu atau pun penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa JTK dari Wilayah Persekutuan Mohd Dzahiruddin Mat Salleh@Ismail memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, Muhamad Rizal yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum.

Mengikut fakta kes, JTK telah membuat pemeriksaan di Pejabat Tenaga Kerja, Menara Perkeso terhadap syarikat tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu telah gagal melaporkan butir-butir tentang penggajian pekerja asing di pejabat PTK yang terdekat dalam tempoh 14 hari selepas pengambilan dua pekerja asing itu.

Difahamkan syarikat itu juga berdepan dengan pertuduhan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mengupah pekerja asing tanpa izin, dan juga dakwaan dari Jabatan Kesihatan.

[Baca berita penuh]