Khazanah Nasional hari ini mengesahkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai pengarah urusan barunya.

“Datuk Shahril bakal melaporkan diri sebagai pengarah urusan pada 20 Ogos,” kata Khazanah dalam satu kenyataan.

Shahril, 48, menerajui KWSP sejak tahun 2013 dan memegang jawatan itu sejak 2009.

Beliau menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar, yang bersama lembaga pengarah terdahulu yang meletak jawatan beramai-ramai pada 26 Julai lalu.

Lembaga pengarah itu kemudiannya segera digantikan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi baru dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai salah seorang pengarahnya.

Pengarah lain termasuk anggota Majlis Penasihat Kerajaan dan bekas presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas timbalan gabenor Bank Negara Sukhdave Singh; dan bekas eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Goh Ching Yin.

Khazanah dalam kenyataannya, turut mengalu-alukan lembaga baru itu, dan mengucapkan terima kasih kepada lembaga sebelumnya dan Azman atas perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada Khazanah dan negara.