Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa lega DAP K'tan bantu anak dapat taraf warganegara

Usaha seorang bapa untuk mendapatkan taraf warganegara anak sulungnya berakhir selepas penantian hampir sembilan tahun berakhir, kelmarin.

Hasil bantuan DAP Kelantan, Lim Sin Faat, 53, mampu menarik nafas lega selepas anak perempuannya Lim Wan Teng, 9, kini sah menjadi warganegara Malaysia.

"Saya lega selepas sekian lama menanti akhirnya, urusan kewarganegaraan anak perempuan selesai.

"Selama ini saya selalu susah hati mengenangkan masalah ini, buat kerja pun masih terfikir nasib anak saya," kata Sin Faat pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama Pengerusi DAP Kelantan Chua Chin Hui dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat, Hawatie Abd Rahman.

Terdahulu, Wan Teng menghadapi masalah kesukaran mendapatkan taraf warganegara susulan ibu bapanya belum mendaftar perkahwinan ketika dia dilahirkan.

Permudah urusan secara percuma

Sin Faat berkata, sebelum ini dia sudah lebih tiga kali mencuba untuk mendapatkan kewarganegaraan untuk anak sulung dari tiga beradik itu hasil perkongsian hidup dengan seorang warga Thailand.

Katanya, permohonannya ditolak beberapa kali kerana tidak mengisi borang dengan sempurna dan tidak mempunyai dokumen lengkap

"Selepas dibantu oleh DAP yang menawarkan bantuan untuk mempermudahkan urusan permohonan secara percuma, akhirnya anak saya berjaya memperoleh kewarganegaraan baru-baru ini.

"Dengan Sijil Kewarganegaraan Malaysia ini, saya berasa cukup lega sekali gus memudahkan urusan persekolahan anak dan rawatan di hospital kerajaan," katanya.

Sementara itu, Hawatie berkata, DAP Kelantan menerima lebih 100 permohonan untuk membantu dalam urusan mendapat kewarganegaraan.

"Kebanyakkan mereka sudah membuat permohonan beberapa kali, namun ditolak kerana tidak mengetahui prosedur sebenar selain tidak memiliki dokumen lengkap dan gagal mengisi borang dengan lengkap.

"Jadi kita sediakan perkhidmatan secara percuma untuk mempermudahkan proses permohonan warga Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara Kelantan kerana saya sudah lakukan perkara sama di Perak sejak 2008.

"Dan ini kes pertama yang kita berjaya bantu melalui DAP Kelantan di negeri ini," jelasnya.

Lihat Komen
ADS