Pemimpin Umno sebelum ini seringkali menggunakan ungkapan akan mempertahankan Putrajaya hingga titisan darah terakhir mereka. Malah Umno juga sering memomokkan bahawa DAP yang majoriti ahlinya berbangsa Cina yang sebenarnya akan berkuasa jika Pakatan Harapan menang.

Ini dalam usaha Umno untuk menimbulkan rasa takut di kalangan pengundi Melayu.

Namun strategi itu tidak berjaya dan pada 9 Mei 2018, Putrajaya tumbang kepada HARAPAN. Ironinya, ia jatuh ke tangan pemimpin sama yang merancang dan membina pusat pentadbiran negara yang gah itu - Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini, DAP membuka cawangan pertamanya dalam apa yang dianggap sebagai kubu dan benteng Umno dalam masa hanya tiga bulan lalu.

Menyifatkan ini sebagai langkah sejarah, Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai berkata parti itu menerima 50 permohonan untuk keahlian DAP cawangan Putrajaya.

Beliau berkata kebanyakan mereka itu terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan yang menaruh keyakinan bahawa DAP adalah parti yang boleh dipercayai.

"Kami tanya mereka - 'Mengapa mahu sertai DAP?'

"Mereka kata mereka sokong komitmen politik pelbagai budaya DAP. Selepas memantau, mereka tidak melihat kita sebagai parti chauvinis Cina.

"Ada di antara mereka yang mempunyai gelaran Datuk Seri, ada yang jadi CEO. Tetapi tidak ada penjawat awam," katanya.