Kerajaan negeri Perak menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam agensi milik penuh kerajaan negeri itu.

Menteri besarnya, Ahmad Faizal Azumu berkata demikian berikutan penahanan seorang bekas pegawai kanan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan membabitkan lebih RM9 juta.

"Kerajaan negeri memandang serius dakwaan penyelewengan ini kerana ia membabitkan ketirisan jutaan ringgit dana rakyat di bawah pengurusan pentadbiran yang lalu.

"Justeru, kerajaan negeri Pakatan Harapan akan memberikan sepenuh kerjasama bagi membantu SPRM dalam siasatan ke atas PEKA," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sekiranya terdapat bukti, pihak terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan dengan tindakan undang-undang, selari dengan pendirian HARAPAN untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan terus menjalankan siasatan dalaman ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan agensi kerajaan negeri.

"Sekiranya wujud unsur penyelewangan, salah guna kuasa dan rasuah, laporan akan dibuat segera kepada SPRM dan pihak Polis Di Raja Malaysia dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, SPRM menahan reman bekas CEO berkenaan bagi membantu siasatan penyelewengan berjumlah RM9.18 juta melibatkan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Pengarah SPRM Perak Datuk Zainul Darus berkata perintah reman tujuh hari terhadap lelaki berusia 43 tahun tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Lelaki berkenaan ditahan awal hari ini di ibu negara susulan laporan yang dibuat oleh PEKA terhadap sebuah syarikat konsultan.