SG KANDIS | Politik jika tidak kena pada tempatnya boleh menjejaskan sesuatu hubungan persahabatan atau kekeluargaaan.

Tidak sedikit mereka yang bermasam muka sesama jiran tetangga, bahkan yang lebih teruk sehingga ke tahap bercerai suami isteri hanya kerana memiliki fahaman politik berbeza.

Namun, berlainan dengan dua individu pada pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Kandis apabila dilihat hadir bersama-sama untuk mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, hari ini.

Mohd Shahril Mohd Jaafar, 40 dan Ramadan Yapa, 52 telah lebih 17 tahun bersahabat.

Atas semangat setia kawan itu kedua-duanya memilih untuk mengutamakan hubungan keluarga dan persahabatan mengatasi semua perkara termasuk politik.

Kata mereka, tidak ada untungnya jika saling bergaduh sesama sendiri hanya kerana tidak sependapat dalam fahaman politik kepartian.

“Walaupun kami berbeza fahaman politik, saya penyokong BN dan dia (Ramadan) HARAPAN, kami tetap kawan.

"Kami kawan dari dulu lagi. Lebih kurang sejak dari 2001 dan dari dulu lagi tak ada masalah,” kata Mohd Shahril.

Ramadan pula berkata, mereka bekerja di tempat yang sama dan tidak ada sebab untuk mereka berbalah semata-mata kerana soal politik.

"Jadi, saya sarankan tak payah nak gaduh pasal politik.

“Kita hiduplah macam biasa dan politik berjalan seperti biasa, politik hal lain, jadi kita sama-sama kena baik tak payah gaduh-gaduh,” tambah Mohd Shahril yang ditemui pemberita sebaik sahaja selesai membuang undi.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Terdahulu calon PKR, Zawawi hadir menunaikan tanggungjawabnya mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun pada jam 9 pagi. Beliau yang hadir berkemeja biru muda dan berseluar hitam turut ditemani isterinya.

Sebanyak 19 pusat mengundi mula dibuka pada pukul 8 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).