SG KANDIS | Calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Nor Adam percaya pengundi di kawasan itu tidak lagi 'ghairah' untuk keluar mengundi.

Ini katanya, berdasarkan kehadiran kurang 50 peratus pengundi di pusat-pusat mengundi setakat jam 12 tengahari tadi.

“Nampak gayanya amat terhad kehadiran pengundi dan ini petanda awal pengundi yang dulu ghairah nak balik mengundi dulu sudah hilang keghairahan untuk mengundi.

“Mungkin kerana faktor-faktor janji tidak ditunaikan,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, hari ini.

Beliau yang berkemeja biru tua tiba kira-kira jam 9 pagi sempat beramah mesra dengan pengundi dan melawat saluran mengundi sambil diiringi wakil petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Lokman berkata pihaknya sememangnya mengharapkan peratusan keluar mengundi tinggi namun perkembangan pagi ini kelihatan sebaliknya.

“Saya memang mengharapkan peratus keluar mengundi ini tinggi kerana saya yakin ramai yang nak memberikan isyarat jelas kepada HARAPAN.

“Cuma nampak gayanya, ramai yang mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi. Peluang untuk kurang 80 peratus keluar mengundi sangat cerah,” katanya.

Dalam pada itu kata Lokman, setiap undi itu penting dan beliau berharap pengundi akan turun menunaikan kewajipan mereka di pusat mengundi masing-masing.

Pada PRK itu, Lokman akan ditentang pencabarnya dari PKR,  Zawawi Mughni dan seorang calon bebas, K Murthy.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).