Insiden seorang wanita, dipercayai rakyat China diarah berbogel dan melakukan ketuk-ketampi di sebuah balai polis baru-baru ini tidak menjejas hubungan Malaysia dengan China, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ini kerana kerajaan Malaysia tiada langsung berniat menganiaya mana-mana rakyat China atau pelawat asing ke negara ini.

Lagipun, katanya, kerajaan telah bertindak pantas menyiasat insiden itu, hingga sanggup membentuk sebuah badan bebas bagi menyiasatnya sebagaimana diarah oleh Perdana Menteri.

"Biar kita cari punca permasalahannya. China tahu kita menghargai hubungan dua hala ini. Hubungan diplomatik kita dengan China bukan dibentuk semalam, tetapi berdekad-dekad lalu," katanya.

Syed Hamid bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Syria, Abdullah Al-Dardari yang mengunjungi beliau di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama , Abdullah sedang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia.

Hubungan telus

Syed Hamid berkata, beliau percaya China menghargai tindakan kerajaan Malaysia itu, yang bersikap telus dalam mengendali perkara tersebut.

"China mengiktiraf ketelusan dan keikhlasan Malaysia mengambil langkah itu yang jarang kita lakukan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan China ada mengirim sebarang bantahan diplomatik atau menyuarakan ketidaksenangannya terhadap layanan terhadap rakyatnya di sini, Syed Hamid berkata, beliau tidak menerima apa-apa.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan badan bebas bagi menyiasat insiden berkenaan.

Beliau berkata, nama-nama individu yang menganggotai badan itu telah dikenal pasti dan disenarai pendek.

Minggu lalu, orang ramai dikejutkan dengan klip video yang menunjukkan seorang wanita keturunan China diarah melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan berbogel oleh seorang anggota polis wanita.

Semalam dilaporkan bahawa polis telah mengenal pasti dan mengambil kenyataan dari seorang anggotanya yang dikatakan merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.