Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jin berumur 25 tahun ketika dia berdiri di pinggir jalan dengan tangannya menuding ke atas cuba memberhentikan kenderaan yang melintas.

Beberapa kenderaan singgah. Namun cita-cita Jin terlalu tinggi untuk mana-mana pemandu yang tidak berada bawah pengaruh alkohol ambil serius: dia mahu ke angkasa.

Dalam percubaan untuk menjadi realistik dan praktikal, selain sebagai persiapan pengembaraan Sputniknya, Jin membuat keputusan, terlebih dahulu dia mahu menjelajah planet yang dihuninya.

Di dalam bas dalam perjalanan pulang, Jin mula berfikir tentang rancangannya... Kereta terlalu laju dan sering buat dia tertidur...Berjalan kaki terlalu perlahan, dia tak mungkin dapat pergi jauh.

Tapi basikal...

"Mengayuh basikal mempunyai kelajuan yang sesuai untuk bergerak sambil memerhati sekeliling," kata Jin dalam kepalanya.

Monolog itu kemudian membawa Jin ke belakang singki-singki hotel, ladang buah dan dapur kedai-kedai roti, dari pagi hingga lewat malam untuk mengumpul cukup wang dan memulakan perjalanannya.

Empat bulan kemudian, dengan AS$9,000, atau kira-kira RM30,000 yang berjaya dikumpul, Jin tetapkan tarikh untuk memulakan pengembaraannya.

Pertama sekali, Jin membeli Surly Long Haul Trucker terpakai berharga AS$700 di Craiglist. Basikal yang dibeli dari seorang pemuda tempatan itu asalnya berwarna hitam kemudian dicat warna kuning.

Dari wang itu juga, AS$1,800 lagi dihabiskan untuk membeli perkakas lain termasuk kamera, beg tidur, pam angin, spanar boleh laras, tiub ganti, alatan penampal tiub, beg pelana, khemah, jaket, dan peralatan memasak.

Permulaan sukar

1 September 2011, Jin memulakan kayuhannya di San Francisco. Sejam pertama Jin sudah menghabiskan bekalan air minumannya, kehilangan beberapa peralatan yang terlepas dari ikatan di basikalnya, tersesat jalan beberapa kali, hampir dilanggar kereta, dan ditahan polis yang mengarahkannya keluar dari lebuh raya.

Sebaik keluar dari pusat bandar, fizikal dan mental Jin memintanya untuk berhenti. Seluruh badannya kepenatan dan kekurangan air. Bekalan air yang dibawa habis di 10 kilometer pertama.

Pada hari pertama, dalam kayuhan untuk mengelilingi dunia, Jin mendapati dia cuma mampu mengayuh 30km. Pada hari kedua, Jin menangis di dalam khemahnya kerana semua terasa berat dan mustahil.

Dia hanya meneruskan kayuhan selepas berjanji untuk mencuba selama sebulan untuk setidak-tidaknya sampai ke Las Vegas.

Minggu ketiga, selepas meninggalkan Las Angeles, Jin mengalami kemalangan dan pemandu kereta yang melanggarnya melarikan diri. Lututnya cedera, dan walaupun basikalnya hanya mengalami sedikit kerosakan, semangatnya patah.

Duduk di sebelah basikal, dengan lutut yang masih sakit, mata Jin merah merenung jalan yang terbentang di hadapannya. Jin bangun dan cuba duduk di atas basikalnya, namun setiap kali kakinya dibengkokkan, kulit pada lututnya meregang mengalirkan darah.

Jin terkenang keluarganya di Seoul, khabar buruk kematian neneknya beberapa hari sebelum memulakan perjalanan, dan basikalnya kini yang terasa lebih berat. Beberapa ratus meter, Jin kehilangan kawalan dan terjatuh lagi.

Jin bangun, kutip basikalnya, mengayuh dengan sebelah kaki, berehat, sambung semula, berehat lagi dan kau tahu selebihnya. Selama enam tahun 10 bulan, tanpa pernah pulang, Jin sudah mengayuh sejauh 66,089km merentasi enam benua.

Antara negara yang dijelajahinya adalah Bolivia, Peru, Brazil, Paraguay, Zimbabwe, Kenya, Itali, Albania, Macedonia, Bulgaria, Croatia, Portugal, Latvia, Rusia, Finland, Sweden, Poland, Ukraine, Romania, Iran, Tajikistan, Kyrgyzstan, China, Laos, Thailand, dan Myanmar.

Pahit manis perjalanan

"Aku ada satu benua lagi untuk dihabiskan," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur. Jin hampir kedengaran seperti orang yang merungut cincin berliannya terlalu berat.

Jin mungkin bangga dengan pencapaiannya, tapi susah untuk melihatnya sebagai seorang yang meninggi diri. Malah Jin dengan penuh kehairanan dan terharu menceritakan dua hari lalu beberapa pembaca blognya datang menemuinya.

Bagi Jin, dia hanyalah orang yang cintanya pada pengembaraan telah membawanya mengayuh melebihi ukur lilit bumi.

Seperti kebanyakan pengembara, Jin mencapai kesimpulan bahawa manusia di mana-mana, secara umumnya, akan menawarkan bumbung untuk berteduh dan katil untuk berehat, kalau saja seseorang itu sanggup meminjamkan telinga mendengar kisah mereka.

"Ada 128 juta penduduk di Mexico," kata Jin, "kebanyakannya tak ambil dadah".

Pada satu malam, ketika Jin mempertimbangkan sama ada perlu meneruskan perjalanan ke Afrika, dia bermimpi seekor gajah yang saiznya lebih besar berbanding yang dia pernah lihat di zoo mendaratkan kaki di atas khemahnya.

Jin terbangun dan kalau dia perlu percaya berita yang dibaca di surat khabar tentang negara itu, bukan gajah gergasi yang menakutkannya tapi gambaran bahawa dia akan mengayuh basikal di negara di mana orang ke pasar raya membeli barang dapur dengan membawa AK47.

Setahun menjelajah benua Afrika, selain gajah, Jin berjumpa dengan pelbagai binatang lain tapi dia tak jumpa sesiapa yang membawa senjata api di pasar raya.

"Ada tempat yang tak ada elektrik," kata Jin, "tapi hampir setiap rumah yang aku singgah mempunyai smartphone."

Tanpa perlu dijelaskan panjang lebar, sudah tentu, dari semua pengalaman itu, ada pengalaman yang meninggalkan trauma.

Selain catatan di blog, Jin berkongsi pengembaraannya di Youtube. Salah sebuah klip videonya ketika mengayuh di Timur Tengah memaparkan Jin duduk di pinggir jalan, berpaut pada basikalnya yang setia. Pipinya basah dengan air mata. Klip video itu dirakam beberapa minit selepas punggungnya diraba orang tempatan.

Di klip video yang lain, berlatarbelakangkan bilik hostel, Jin berkongsi caranya menampung kos perjalanan - termasuklah menulis artikel untuk majalah dan sumbangan daripada pembaca-pembaca blognya.

Tampil memakai blaus, Jin hampir kelihatan seperti mana-mana gadis Youtube yang memuat naik video tentang tips-tips penjagaan rambut.

Kitaran kesunyian

Dari pengalaman sendiri dalam skala yang jauh lebih kecil, aku cuma boleh bayangkan gambaran keteguhan hati dan dedikasi yang diberikan Jin.

Letak tepi kerja-kerja dokumentasi, separuh daripada rutin Jin adalah duduk membuat pengiraan dan mencari maklumat tentang perjalananya.

Kau bangun awal pagi, selepas bersarapan, kau periksa rantai, tayar, ketatkan bahagian mekanikal yang perlu diketatkan, ikat kemas barang-barang, semak peta sekali lagi, congak dalam kepala nama-nama tempat dan jalan yang perlu dilalui, mengucapkan selamat tinggal sebelum kembali bersendiri di atas jalan.

Bersendiri, berjumpa kenalan baru, dan bersendiri semula. Kitaran ini diulang di setiap persinggahan. Kalau kau sentimental, kau akan ambil masa untuk membiasakan diri.

Sebaik kembali di jalan, kau tinggalkan nostalgia dan hutang budi di belakang. Kau janji pada diri sendiri untuk datang semula suatu hari nanti. Namun besar kemungkinan itu kali terakhir kau melihat mereka dalam latar hidup mereka.

Perjalanan Jin adalah kitaran kesunyian dan kebersamaan ini. Bahawa begitu mudah untuk menerima seseorang seadanya, situasi dan nasib seadanya, baik dan buruk, jika kita tahu kita hanya akan berada pada saat itu untuk waktu yang singkat dan ia tak mungkin berulang kembali.

Pada tahap kesedaran sebegitu, kita mungkin tidak akan terfikir untuk membina tembok yang begitu tinggi, dikelilingi kawat besi dan dikawal lelaki memegang senjata api.

Destinasi terakhir di dalam senarai Jin adalah negara yang bercakap bahasa yang sama dengannya, namun mustahil untuknya; Korea Utara.

"Setakat ini belum ada orang Korea yang dibenarkan menyeberang ikut jalan darat," kata Jin sebelum sebelum mengucapkan selamat tinggal.



Ikuti kisah pengembaraan Jin di Youtube, blog, dan  Instagram 

Lihat Komen
ADS