Siasatan oleh beberapa agensi berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang turut akan meneliti kewujudan usaha menutup perkara itu seperti didakwa mangsa.

Menurut laporan The Star yang memetik Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh sebagai berkata ini kerana tiada tindakan diambil selepas mangsa membuat laporan terhadap ketua jabatan berkenaan.

"Dalam kes ini, ia tentang siapa yang cuba menutup laporan berkenaan.

"Mangsa mendakwa sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil. Kita sedang meneliti perkara ini," katanya dipetik sebagai berkata semalam.

Yeoh menambah bahawa dua wakil dari kementeriannya akan menyertai badan penyiasat bebas yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memantai siasatan kes berkenaan.

Yeoh juga menekankan bahawa kes itu merupakan satu gesaan untuk memperkenalkan perundangan yang tersusun bagi membendung gangguan seksual di tempat kerja.

"Akta gangguan seksual sudah diperkatakan untuk beberapa ketika, namun kini dengan kes yang melibatkan Kementerian Kesihatan, kita rasa terdapat keperluan mendesak untuk memperkenalkannya dengan segera," katanya.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berjanji menyiasat perkara itu yang pertama kali didedahkan melalui laporan The Star.

Badan siasatan ditubuhkan dua hari selepas laporan itu dan pada Selasa lalu, The Star memetik sumber yang berkata ketua jabatan diarahkan bercuti susulan laporan ke atasnya.

Akhbar berbahasa Inggeris itu sebelum ini mewawancara beberapa pegawai dari hospital berkenaan yang menceritakan pengalaman mereka dengan mendakwa bahawa individu berkenaan menggunakan kuasanya untuk menyasarkan doktor-doktor perempuan muda.

Salah seorang pegawai turut mendakwa tiada tindakan diambil meskipun dia sudah membuat laporan polis berhubung gangguan seksual itu sejak Oktober tahun lalu.

[Baca berita penuh]