Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Elok PAS dan BN lupakan PRK Balakong, Seri Setia'
Diterbitkan:  Aug 5, 2018 2:32 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada di Sungai Kandis, Selangor semalam membuktikan rakyat terus memberi kepercayaan kepada gabungan tersebut untuk memerintah, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata hasil kemenangan itu pembangkang - terdiri daripada PAS dan BN disaran tidak perlu bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia, sebaliknya memberi fokus kepada rakyat di kawasan yang telah dimenangi mereka.

"Kemenangan semalam sudah diduga dan jumlah yang keluar mengundi rendah itu juga sudah dijangka, tetapi itu tidak menjejaskan pencapaian dan keyakinan rakyat terhadap HARAPAN.

"Ini juga menunjukkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain kecuali memilih HARAPAN.

"Negara kita mengamalkan demokrasi jadi sesiapa pun boleh bertanding tetapi pembangkang (PAS, BN) tak payah bertandinglah.

"Daripada habiskan duit untuk PRK, baik mereka fokus pada kawasan mereka untuk pastikan mereka boleh jadi pembangkang yang konstruktif," katanya mengulas keputusan PRK Sungai Kandis.

Terdahulu, Mahfuz yang juga naib presiden Parti Amanah Negara merasmikan majlis penganugerahan Puncak Kecemerlangan 2018 di Dewan Sri Tanjung, Sekolah Kebangsaan Langgar di Alor Setar hari ini.

Semalam dalam pertembungan tiga penjuru di Sungai Kandis, calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperolehi 15,427 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon bebas K Murthy (97 undi).

PRK Balakong akan diadakan pada 8 Sept berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lepas manakala DUN Seri Setia masih belum ditetapkan tarikhnya berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Khamis lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS