Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis yang menyaksikan persefahaman antara BN dan PAS untuk meletakkan seorang calon bagi menentang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) hanyalah gambaran "peringkat awal" kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Melalui kenyataan medianya hari ini, setiausaha agung Umno itu berkata, ia bukanlah kayu pengukur yang boleh memberi gambaran potensi sebenar yang boleh dicapai sekiranya kedua-dua parti itu meneruskan kerjasama dengan lebih tersusun.

"Sebenarnya kerjasama kedua-kedua parti masih di peringkat terlalu awal tetapi sangat penting. PRK Sungai Kandis bukan kayu pengukur kerjasama ini.

"Ini kerana persetujuan hanya tercapai di peringkat persefahaman meletakkan satu calon, tetapi daripada segi gerakan, kempen dan lain-lain belum termeterai.

"Malah pemimpin kedua-dua parti belum bersetuju untuk berkongsi pentas atau menyelaraskan jentera kempen.

"Dalam kata lain kedua-dua parti belum bergerak sebagai satu badan seperti mana HARAPAN bergerak," katanya.

Untuk rekod, PAS sebelum ini mengumumkan tidak meletakkan calon di PRK itu bagi memudahkan mengalahkan calon HARAPAN.

Sementara BN, yang kalah di PRK Sungai Kandis semalam, dilihat optimis dengan keputusan itu dan mendakwa ia petanda yang baik dalam menggambarkan protes rakyat terhadap kerajaan HARAPAN.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya akan terus berusaha dalam membentuk kerjasama antara BN dan PAS bagi "melindungi" rakyat dan agenda umat Islam.

"Ruang untuk kerjasama sebenar masih terbuka luas dan belum teruji. Ia akan terus diusahakan untuk memantapkan perjuangan rakyat.

"Umno akan terus mengambil sikap terbuka dan pragmatik untuk terus meneroka rekayasa perjuangan rakyat.

"Rakyat memerlukan perlindungan daripada corak pemerintahan HARAPAN yang banyak dikuasai sosialis DAP khususnya bagi bumiputera dan umat Islam pada keseluruhan," katanya yang mendakwa HARAPAN didalangi pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Keikhlasan PAS

Sementara itu, menyentuh berhubung kerjasama Umno-PAS, dalam kenyataan berasingan, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan situasi di Sungai Kandis merupakan permulaan yang baik untuk kerjasama yang lebih jitu di masa akan datang.

"Walaupun kita tidak tahu jumlah ahli PAS yang menyokong calon BN tetapi sokongan secara terbuka kepimpinan PAS pusat, negeri dan bahagian yang menyeru ahli mereka memberikan sokongan kepada calon BN cukup jelas menggambarkan keikhlasan mereka untuk bekerjasama dengan Umno demi keutuhan masa depan umat Islam dan umat Melayu yang semakin tercabar dan terhimpit di bawah kerajaan HARAPAN.

"Saya yakin kerjasama ini pastinya mampu untuk memperkasakan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia," katanya.

Dalam kenyataan itu, Ismail yang juga merupakan pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor mengulangi hujah bahawa peratus keluar mengundi merupakan gambaran protes rakyat terhadap HARAPAN.

Walaupun BN kalah tetapi protes rakyat telah ditunjukkan dengan kehadiran yang rendah keluar mengundi.

Sewaktu berkempen, mesej BN adalah sebagai protes kepada kerajaan HARAPAN di atas kegagalan mereka menunaikan manifesto pilihan raya dan menghentikan tindakan yang mencabar Islam dan orang Melayu.

"Kemerosotan undi calon HARAPAN menunjukkan golongan atas pagar malah penyokong mereka di kalangan pengundi muda tidak keluar mengundi sebaga protes," katanya.

Dalam PRK Sungai Kandis semalam, calon HARAPAN dari PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi terhadap Lokman Noor Adam daripada BN.

Mengikut keputusan akhir, PKR memperoleh 15,427 undi berbanding 9,585 undi untuk BN, sementara calon bebas K Murthy menerima 97 undi.