Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor memberi jaminan tarif air di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan dinaikkan buat masa ini namun ia bergantung kepada kemampuan pentadbiran tersebut pada masa depan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, ini kerana pihaknya perlu meneliti seluruh perkara dan aspek berkaitan terlebih dahulu memandangkan kos pengeluaran air bersih yang semakin meningkat.

“Sekarang ini tiada kenaikan (tarif air) dan kita akan teruskan program air percuma yang menelan belanja RM180 juta setahun walaupun ia telah banyak kali meningkat sejak mula diperkenalkan (pada Jun 2008) pada kadar kira-kira RM70 juta setahun.

“Namun begitu, kita bertindak mengikut kemampuan semasa kerajaan negeri dan buat masa ini, kita masih mampu (menanggung kos) walaupun kita wujudkan pelbagai program lain yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan lembu korban bagi Aidiladha peringkat negeri di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mendakwa pengguna air di tiga lokasi tersebut akan menanggung tarif yang tinggi susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada harga RM2.55 bilion, Jumaat lepas.

Amirudin berkata nilai pembelian SPLASH itu dilihat relevan kerana ia berdasarkan jangkaan harga sesuai oleh badan penilai bebas antarabangsa yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Perkara ini (tarif air) telah dijawab berkali-kali oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (semasa menjadi menteri besar) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri dan kena faham kronologinya daripada awal. Kita membeli dan mengambil alih berdasarkan ‘willing seller willing buyer’,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin kononnya PKR menerima ‘habuan’ RM500 juta daripada pengambilalihan tersebut, Amirudin berkata “tuduhan tanpa bukti adalah tuduhan tidak bertanggungjawab”.

Tegasnya, kerajaan negeri telah membuat rundingan dan perbincangan selama setahun dengan Air Selangor bagi mendapatkan nilai pembelian berkenaan.

Pada Jumaat lepas, pengambilalihan SPLASH pada nilai RM2.55 bilion itu akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung oleh anak syarikat Air Selangor, iaitu SYABAS, kepada SPLASH untuk pembelian air terawat yang telah mencecah sebanyak RM4.7 bilion setakat 30 Jun 2018.

Air Selangor akan membayar secara ansuran untuk tempoh selama sembilan tahun bagi mengambil alih syarikat SPLASH.

Terdahulu pada majlis tersebut, kerajaan negeri dengan kerjasama anak-anak syarikatnya menaja 1,200 ekor lembu untuk diedarkan ke masjid, surau solat Jumaat, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan di negeri itu bagi melakukan ibadah korban tahun ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS