Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Rujuk pejabat MB jika mahu guna imej saya'
Diterbitkan:  Aug 5, 2018 10:06 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hari ini berkata kerajaan negeri tiada kaitan dengan sebuah majlis amal yang menampilkan penyanyi wanita seksi.

"Saya menafikan pembabitan saya, Pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak dalam satu majlis 'amal' yang menampilkan seorang penyanyi wanita yang tampil berpakaian seksi, seperti yang tersebar di media sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau maklum dengan penggunaan gambarnya serta Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran sebagai latar pentas persembahan, selain nama penganjur iaitu Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak.

"Penganjur juga didapati menggunakan jata negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

"Saya telah meminta pihak berkaitan untuk menyemak kaitan kerajaan negeri dengan majlis tersebut dan makluman yang diterima menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat menteri besar, jabatan atau agensi kerajaan negeri di majlis itu," katanya.

Faizal berkata beliau memandang serius tindakan penganjur itu kerana ia melibatkan imej institusi menteri besar dan kerajaan negeri.

"Justeru saya telah mengarahkan agar mana-mana pihak yang ingin menggunakan imej saya atas kapasiti sebagai menteri besar, ADUN dan anggota parlimen agar merujuk pejabat menteri besar terlebih dulu.

"Ini untuk melindungi imej insitusi menteri besar dan imej kerajaan negeri daripada sebarang acara atau aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum, serta menyentuh perkara-perkara sensitif," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS