Walaupun pembangkang khususnya, Umno dan PAS mendakwa jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis sebagai kemenangan moral terhadap Pakatan Harapan, seorang ahli parlimen DAP bekata keputusan itu sebenarnya mencerminkan rakyat menolak amalan politik kebencian oleh pembangkang.

“BN tewas di 14 daripada 19 pusat daerah mengundi di Sungai Kandis.

"Antaranya, termasuk di Kampung Jawa, di mana ucapan berbaur kebencian itu dibuat.

"Kemenangan HARAPAN pada PRK Sungai Kandis mencerminkan fakta bahawa pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu, matang dan rasional," kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini terbukti selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu yang menyaksikan rejim BN-Umno digulingkan selepas pemerintahan lebih 60 tahun.

"Mesej keputusan PRK Sungai Kandis ialah: Malaysia baru tidak mempunyai tempat untuk amalan politik ketakutan, kebencian dan pembohongan dengan menggunakan bangsa dan agama,” katanya.

Lim merujuk dan membidas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang sehari sebelum tarikh pengundian menghasut orang ramai di Kampung Jawa, supaya tidak menyokong apa yang didakwanya sebagai kerajaan pimpinan "Kristian".

Calon Umno-BN tewas pada PRK itu dengan 5,842 undi. Beliau hanya memperoleh 9,585 undi berbanding 15,427 oleh calon HARAPAN.

Umno dan PAS masing-masing mendakwa jumlah peratusan keluar mengundi pada 49.4 peratus kerana pengundi kecewa dengan HARAPAN. Namun buat veteran DAP Lim Kit Siang, hakikatnya PRK itu menunjukkan calon Umno kehilangan hampir 70 peratus undi jika digabungkaan jumlah yang diterima oleh calon Umno dan PAS pada 9 Mei lalu.

Lip Eng berkata Tajuddin juga harus membuktikan tuduhannya terhadap kerajaan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, DAP, dan masyarakat Kristian.

"Sebagai Ahli Parlimen kanan, dia tidak sepatutnya berbohong dan cuba menanamkan semangat kebencian antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

"Adakah Tajuddin berani membawa tuduhan sama pada kempen PRK di Balakong dan Seri Setia?"soalnya.

“Saya menuntut Tajuddin sebagai pemimpin nasional Umno, untuk menarik balik tuduhan tidak berasas dan berniat jahat terhadap DAP dan pemimpinnya dalam masa 24 jam, atau Umno mengambil tindakan tatatertib terhadap Tajuddin kerana menggalakkan politik bangsa dan agama berdasarkan pembohongan.

"Sekiranya Tajuddin enggan dan memilih untuk berdegil dalam menyebarkan politik pembohongan terhadap DAP, saya tidak mempunyai pilihan selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan jenayah terhadapnya," katanya.