Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Status UEC ditentukan dalam tempoh 5 tahun
Diterbitkan:  Aug 6, 2018 11:51 AM
Dikemaskini: 4:28 AM

PARLIMEN | Keputusan muktamad untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dibuat dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) menyentuh mengenai pengiktirafan UEC dalam manifestonya ia tidak termasuk dalam 10 janji 100 hari mereka.

Katanya kementerian akan menjalankan kajian menyeluruh, mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak yang ada kepentingan dan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu serta keharmonian kaum.

"Kementerian akan memastikan isu UEC tidak akan menjejaskan kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu, serta tidak menjejaskan perpaduan serta keharmonian antara kaum di negara ini," katanya.

Maszlee berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan asal Alice Lau (HARAPAN-Lanang) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan bilakah UEC akan diiktiraf.

Kata Maszlee isu UEC perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak wajar sesuatu keputusan mengenainya dibuat secara terburu-buru.

Mengenai soalan kedua Lau yang bertanya tentang peruntukan kerajaan kepada sekolah-sekolah menengah Cina, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan tidak menyediakan dana bagi sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

"Hal ini kerana SMPC tidak tergolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"Mengenai peruntukan pembangunan, sebarang permohonan - jika ada - akan diputuskan oleh agensi pusat," katanya.

Lihat Komen
ADS