Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan penjimatan sehingga RM100,000 kepada pembeli yang produk hartanah di festival Koleksi Hartanah PKNS siri kedua yang sedang berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam sehingga 12 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, 50 produk hartanah pelbagai jenis ditawarkan sepanjang program, di kawasan strategik seperti Shah Alam, Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Alam Nusantara dan Selangor Cyber Valley.
“PKNS turut melanjutkan Skim SMART Ownership PKNS sehingga akhir tahun berikutan sambutan menggalakkan yang diterima pada siri koleksi sebelum ini.
“Diskaun 15 peratus akan diberi kepada projek Citrina 2 di Bernam Jaya dan diskaun 20 peratus pula diberi untuk projek Puteri Elaisha dan Puteri Dafina dua dan tiga di Kota Puteri,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Koleksi Hartanah PKNS siri kedua Sabtu lalu.
Katanya, pembeli turut berpeluang menikmati diskaun 20 peratus bagi Projek Azhara di Antara Gapi yang dijual pada harga RM668,000 dan Hijauan Enklaf pada harga RM3.08 juta.
Beliau berkata, di dalam siri ini, PKNS akan melancarkan program pendaftaran rumah mampu milik bagi projek di Selangor Cyber Valley dan Kota Puteri yang menyasarkan 1,680 unit dibina pada harga bermula RM220,000.
Bersempena ulang tahun ke-54, PKNS juga memberikan tambahan diskaun sebanyak RM5,400 kepada 54 pembeli terawal yang membeli produk hartanah miliknya sehingga akhir bulan ini.
Bagi orang ramai yang memperkenalkan hartanah PKNS kepada pembeli menerusi program Skim Insentif MyPKNS, mereka berpeluang menerima bayaran pencadang sehingga RM30,000, mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.
- Bernama
