Jumlah pengundi yang rendah keluar semasa di Sungai Kandis pada Sabtu lalu bukan disebabkan oleh anggota PAS yang memboikot pilihan raya kecil (PRK) berkenaan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia disebabkan rakyat mula muak dengan pilihan raya dan enggan menyertainya.

Kata anggota parlimen Kubang Kerian itu lagi, isu itu sebenarnya lebih besar dan perlukan perhatian berbanding jumlah peratusan yang dicatatkan di Sungai Kandis.

“Faktor seperti jumlah keluar mengundi yang merosot perlu dikaji atau rakyat sudah muak atau pun penat selepas pilihan raya umum.

“Isu boikot tak timbul, cuma nampaknya persoalannya sama ada pengundi luar nak balik atau tidak sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim sebelum itu ditanya apakah anggota PAS memboikot PRK Sungai Kandis sehingga gagal memberi kesan yang signifikan kepada calon BN yang disokong parti itu.

Pada PRK itu PAS tidak meletakkan calonnya walaupun berbuat demikian semasa pilihan raya umum diadakan 9 Mei lalu.

Tanpa calon sendiri PAS mengambil pendirian menyokong calon BN, Datuk Lokman Noor Adam. Namun ia gagal membawa kerusi Sungai Kandis ke pihak pembangkang apabila ia dikekalkan oleh HARAPAN melalui calonnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu mengulas soal kerjasama PAS dengan Umno, Tuan Ibrahim sekali menegaskan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi parti itu.

“Buat masa ini tidak ada lagi, kita tak mengadakan sebarang mesyuarat ke arah itu,” katanya.

Manakala soal kerjasama semasa PRK, Tuan Ibrahim berkata ia hanya dalam konteks pilihan raya kecil itu sahaja.

“Kerjasama dalam konteks parti kita tak ada kerjasama yang dibuat tapi dalam konteks menghadapi pilihan raya kecil,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata PAS akan menerima bantuan siapa sahaja termasuk Pakatan Harapan.

“Siapa-siapa nak tolong PAS, kita terima semua, termasuk Pakatan Harapan ke nak tolong pun, kita terima,” katanya.