Kementerian Kewangan yang juga merupakan pemegang saham dan lembaga pengarah 1MDB bersetuju melepaskan presiden syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy pada Mac 2016 namun membatalkan keputusan itu sebulan kemudian, kata peguam Arul, N Sivananthan hari ini.

"Pada Mac 2016, rangka kerja untuk rancangan rasionalisasi 1MDB sudah disediakan. Anak guam saya kemudian diminta meletakkan jawatan ketika itu dan lembaga pengarah serta pemegang saham 1MDB turut bersetuju.

"Bagaimanapun, akibat pertikaian undang-undang dengan International Petroleum Investment Company (Ipic) pada April 2016, anak guam saya diminta untuk kekal dengan jawatannya dan mematuhi syarat kontrak pelantikannya sebelum ini," katanya dalam kenyataan media.

Arul Kanda sebelumnya bertugas di Abu Dhabi Commercial Bank sebagai ketua pelaburan perbankan dan terlibat dengan penstrukturan semuka kewangan. Arul bertugas di situ selama tiga penggal bermula 5 Jan 2015.

Sivananthan juga mendakwa bahawa Arul Kanda diminta mempertimbangkan semula agar melanjutkan kontraknya setahun pada Disember 2017.

"Selepas beberapa rundingan, anak guam saya bersetuju untuk melanjutkan kontraknya enam bulan.. Antara lain, syarat yang dikenakan adalah bayaran 'ex-gratia', yang diluluskan oleh lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa dalam tempoh anak guam saya menjadi presiden 1MDB, dia terikat dengan kontrak untuk membuat keputusan, memberi arahan lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB, yang mana harus berdepan dengan siatuasi kritikal hutang 1MDB yang sedia ada," kata peguam itu.

Minggu lalu parlimen diberitahu bahawa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi Arul Kanda bonus RM5 juta untuk enam bulan lanjutan kontraknya, tidak termasuk gajinya.

Arul Kanda bagaimanapun dikatakan hanya menerima separuh daripada bonus berkenaan kerana perkhidmatannya ditamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN), dua hari sebelum kontraknya tamat.

Kerajaan kini menuntut semula bayaran RM2.5 juta berkenaan.

[Baca berita penuh]