Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dengan pemegang kepentingan ditangguhkan buat masa ini, dengan tarikh akhir bagi badan penasihat itu untuk mengakhiri tugasnya semakin hampir.

Ahli badan penasihat itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata CEP semakin hampir untuk menyelesaikan tugasnya dan sedang menyiapkan laporan penuh.

“Lagipun, tempoh 100 hari semakin dekat, dalam masa dua minggu lagi,” katanya semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat CEP di Menara Ilham, di Kuala Lumpur, hari ini.

Apabila ditanya bila laporan itu akan siap, beliau berkata, hanya sekretariat yang tahu.

CEP ditubuhkan pada 12 Mei oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertindak sebagai penasihat mengenai isu ekonomi, kewangan dan perkara-perkara lain.

Majlis itu dianggotai lima ahli termasuk Zeti, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Hassan Marican dan Prof Jomo Kwame Sundaram.
Hari terakhir CEP dijangkakan pada 22 Ogos.

Sementara itu, Zeti, yang juga Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata institusi pelaburan itu diletakkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) dan tidak tahu menahu sekiranya ia berada di bawah bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut laporan berita baru-baru ini, Khazanah Nasional Bhd, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PNB akan ditempatkan di bawah PMO di bawah struktur kerajaan baharu dan bukannnya Kementerian Hal-Ehwal Eokonomi.

Zeti juga berkata pengurusan PNB dan beliau sendiri akan bertemu dengan media tidak lama lagi bagi menjawab soalan berkaitan hala tuju perbadanan itu.

- Bernama