Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NFCorp masih berhutang hampir RM249j
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 11:29 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

PARLIMEN | Syarikat National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFCorp) masih menanggung hutang sebanyak RM248.9 juta kepada kerajaan dan daripada jumlah itu RM4.3 juta adalah faedah atas kelewatan pembayaran.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu hutang pokok yang belum dibayar ialah RM224.8 juta manakala faedah daripada jumlah itu sebanyak RM19.8 juta.

"Kerajaan telah menandatangani perjanjian pinjaman dengan NFCorp berjumlah RM250 juta pada 6 Dis 2007 bagi membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Daripada jumlah itu sebanyak RM35.5 juta telah diterima oleh kerajaan bagi bayaran balik sebahagian daripada penjaman berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Akmal Nasir (HARAPAN-Johor Bahru) yang bertanya mengenai usaha diambil kerajaan untuk mendapatkan kembali dana yang disalah guna dalam skandal NFC.

Akmal juga mahu kerajaan menjelaskan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dalam skandal tersebut.

Kata Lim kerajaan ada mengambil tindakan bagi mendapatkan semula dana yang dipinjamkan kepada NFCorp.

Antaranya kata Lim, pada 14 Mac 2012 Polis Diraja Malaysia mengeluarkan perintah penyitaan bagi merampas pelbagai aset dan tunai milik NFCorp dan syarikat yang ada kaitan dengannya.

Kata Lim tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Menurutnya pada 2015 dan 2016 pelaksanaan tindakan undang-undang ke atas NFC dipertimbangkan namun tindakan tersebut ditangguhkan atas arahan menteri kewangan kedua pada masa berkenaan.

"Kerajaan sedang berusaha ke arah melaksanakan tindakan undang-undang ke atas NFC," katanya.

Lihat Komen
ADS