Wartawan masih tunggu ketibaan kapal Equanimity
Pengamal media tempatan dan antarabangsa masih lagi menunggu untuk memasuki Terminal Boustead Cruise Center untuk membuat liputan ketibaan kapal mewah ‘Equanimity’ yang dijadualkan tiba di Pelabuhan Klang pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Menurut sumber polis, pihak media hanya akan dibenarkan masuk ke terminal itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari.
Ini bagi memberi laluan kepada beberapa prosedur merangkumi permeriksaan khas oleh pegawai daripada Mahkamah Tinggi serta Pejabat Peguam Negara.
Menurut sumber polis itu, sepanjang kapal berkenaan berada di jeti terminal ia akan dikawal ketat oleh pihak berkuasa termasuk polis.
Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu pemilik kapal iaitu ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan turut bersuhabat dalam penyelewengan dana 1MDB.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan negara itu atas bantuan mereka dalam menyerahkan ‘Equanimity’ yang dirampas pihak berkuasa republik itu kepada Malaysia.
Kapal itu disita di Bali pada Februari atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai.
- Bernama

