IRC telah serah laporan akhir pada CEP, JPM
Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang ditubuhkan bagi memberi syor pembaharuan kepada kerajaan terhadap beberapa institusi utama negara telah menyerahkan laporan akhirnya kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada bulan lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata jawatankuasa berkenaan yang dianggotai lima tokoh pemimpin dan pakar dalam pelbagai bidang juga memberi taklimat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Julai lepas mengenai cadangan-cadangan yang terkandung dalam laporan akhir berkenaan.
“Dengan penyerahan laporan ini, jawatankuasa ini telah pun mencapai mandat mereka sebelum tempoh 100 hari yang ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu bila laporan terakhir dan laporan tambahan IRC yang telah diserahkan kepada CEP dan JPM akan didedahkan kepada anggota Parlimen dan orang awam.
IRC ditubuhkan pada 15 Mei lepas dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan K C Vohrah; bekas hakim mahkamah rayuan dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai; Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Mohd Arshad Raji; Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga dan pakar perlembagaan dan pensyarah undang-undang Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Liew berkata IRC kini dalam proses menyiapkan laporan tambahan yang akan diserahkan sebelum tempoh 100 hari berkenaan tamat.
“Memandangkan laporan dan cadangan jawatankuasa ini berlandaskan kepada 60 janji jangka panjang yang terkandung dalam Buku Harapan, maka kerajaan kini dalam proses meneliti laporan jawatankuasa ini sebelum sebarang keputusan diambil.
“Keputusan untuk dedahkan laporan ini secara umum akan dibuat setelah laporan ini dibincang secara terperinci oleh jemaah menteri dalam masa terdekat ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Maria Chin yang ingin tahu sama ada pihak badan bukan kerajaan dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan akan dilibatkan dalam membincang syor-syor yang dicadangkan IRC, Liew menjelaskan syor-syor itu akan diteliti oleh kementerian yang telah diarahkan jemaah menteri untuk melaksanakan mana-mana syor IRC itu.
“Dan setelah selesai, ia akan dibawa semula kepada jemaah menteri untuk diluluskan dan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Laporan berkenaan akan turut diedar kepada kesemua anggota Parlimen, katanya mengambil maklum soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) yang bertanyakan sama ada syor berkenaan turut akan dirujuk kepada Parlimen atau Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.
- Bernama

