Projek kereta nasional ketiga bukan keutamaan kerajaan
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata pelaksanaan projek kereta nasional ketiga negara bukan keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)
Kata Dr Xavier, banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan sekiranya mahu projek berkenaan dilaksanakan.
"Saya tidak rasa ia (projek kereta nasional ketiga) adalah keutamaan kepada negara," katanya kepada media di lobi parlimen, hari ini.
Bagaimanapun, katanya kerajaan masih menunggu kajian yang sedang dilakukan terhadap pelaksanana projek kereta nasional ketiga seperti dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Banyak perkara kena lihat sebelum buat keputusan.
"Setuju atau tidak kena tengok kajian. Adakah ia bagus untuk negara atau adakah ia akan beri lebih masalah kepada negara.
"Ini adalah projek kereta nasional ketiga, kalau kita buat kajian kita akan tengok dulu perlu atau tidak," katanya.
Sebelum ini Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata kerajaan sekarang percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara.
Malah katanya, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Dr Mahathir Mohamad.
"Kami mencuba untuk mencergaskan dan mengembangkan industri ini memandangkan potensinya yang besar.
"Selain itu, pengeluar komponen kenderaan juga adalah antara sektor yang memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya sebelum ini.
Dr Mahathir mengesahkan aspirasi membina projek kereta nasional ketiga dalam lawatannya ke Jepun pada Jun lalu selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei tahun ini.
Perdana mnteri dilaporkan berkata bahawa, kerajaan meninjau untuk membina projek kereta nasional 3.0 selepas Proton dan Perodua, memandangkan ilham yang dicetuskannya, Proton menjalin perkongsian strategik dengan Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) dari China pada Mei tahun lalu.

