Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penyelesaian dengan IPIC lebih penting dari Equanimity'

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mendapat lebih banyak manfaat melalui penyelesaian dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) berbanding penjualan kapal pesiar Equanimity.

Bercakap dengan pemberita di lobi Parlimen hari ini, bekas perdana menteri berkata pentadbirannya tidak fokus pada dakwaan dana 1MDB disalahguna untuk membeli kapal bernilai RM1 bilion itu, kerana sibuk dengan usaha mendapatkan penyelesaian penuh dengan IPIC.

Beliau juga menyifatkan rancangan kerajaan untuk membawa pulang Equanimity sebelum menjualnya kepada pembida tertinggi sebagai "langkah populis".

"Apa yang penting adalah penyelesaian dengan IPIC. Itu jumlah terbesar. Itulah sebabnya kita tidak tumpu kepada kapal. Kami mahu jumlah yang besar diselesaikan dulu," kata Najib.

Najib menjelaskan nilai kapal itu akan merosot dan tidak ramai yang mampu membelinya daripada Malaysia.

Beliau sekali lagi menegaskan sebelum ini tidak tahu kaitan 1MDB dengan Equanimity dan tidak pernah menaikinya, dan hanya tahu tentang isu itu melalui laporan media.

"Apa yang penting saya tidak tahu tentang kapal itu dan kapal itu sendiri masih dalam litigasi (mahkamah). Ia bukan hal yang jelas. Saya tengok (peguam) Matthias Chang pun keluarkan kenyataan mempersoalkan langkah itu dari sudut undang-undang," katanya lagi.

Walaupun berulangkali berkata kerajaan boleh mendapatkan semula "jumlah lebih besar" melalui penyelesaian dengan IPIC, Najib tidak menyatakan jumlah tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS