Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN |  PAS memandang serius pendedahan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) berhubung penglibatan parti politik negara ini terhadap pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pembangkang mendesak agar kerajaan melakukan siasatan segera mengenai pendedahan itu kerana melibatkan campur tangan politik negara.

"Kita desak mereka dedahkan jumlah dana yang diberikan kerana ada pengakuan mereka beri dana kepada parti (HARAPAN) di Malaysia.

"Kita harap satu siasatan dibuat bagi mendedahkan semua penglibatan IRI dalam campur tangan politik dalam negara," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Anggota parlimen Kubang Kerian itu merujuk kepada kenyataan Presiden IRI, Daniel Twining Yang mendakwa pertubuhannya telah berusaha untuk "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia.

Kumpulan yang berpangkalan di Washington itu mengakui turut bekerjasama dengan parti-parti politik Malaysia merentasi spektrum siasah yang melibatkan BN dan Pakatan Harapan.

Penjelasan kerajaan

Dalam pada itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, pembangkang mendesak agar kerajaan HARAPAN memberikan penjelasan yang sah mengenai dakwaan IRI.

"Bagi PAS apabila IRI telah membuat pengakuan bahawa mereka punya kaitan dengan memberikan bantuan strategi dan dana kepada parti politik pembangkang yang sudah tentunya bukan PAS.

"Kita nak mintak kepada pihak yang dikatakan oleh IRI telah dibantu sehingga mereka menjadi kerajaan persekutuan supaya mereka buat penjelasan kepada rakyat.

"Mereka perlu beri penjelasan sama ada dakwaan itu adalah betul atau tidak. Kalau tiada kaitan mereka kena buktikan bahawa mereka tidak ada kaitan," katanya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Tony Pua mendedahkan semua parti politik di Malaysia terlibat dengan latihan yang dianjurkan oleh IRI.

Katanya bukan sahaja partinya, DAP, malah Umno, Pas, Gerakan, MCA juga pernah terlibat terlibat dengan latihan anjuran IRI.

“Tak kiralah Umno, Gerakan, MCA, DAP semua terlibat kerana latihannya seperti komunikasi dan internet.

“Jadi mereka menganjur latihan melibatkan semua parti. Ia bukan sahaja kami. Mereka juga telah mengeluarkan kenyataan,” ujar Tony Pua.

Lihat Komen
ADS