Gerakan sangkal dakwaan Izzah mengenai IRI
Gerakan mendakwa Naib Presiden PKR Nurul Izzah membuat tuduhan tidak berasas mengenai parti itu menerima latihan daripada International Republican Institute (IRI), sebuah badan yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS).
"Gerakan tidak pernah menjalani apa-apa latihan yang dijalankan IRI ataupun kami menerima apa-apa bentuk kerjasama atau bantuan daripada IRI, pada masa lalu dan sekarang.
"Gerakan komited untuk menegakkan dan mengembangkan demokrasi pilihan raya. Kami menentang sebarang campur tangan asing yang tidak bermoral untuk memastikan pilihan dalam negara kita bebas dan adil," kata Naib Presiden parti A Kohilan Pillay dalam satu kenyataan hari ini.
Kohilan, bekas timbalan menteri luar negeri, juga menggesa Nurul agar lebih berhati-hati dalam kata-kata dan tindakannya sebagai pemimpin.
Beliau berkata adalah penting bagi anggota parti politik daripada seluruh spektrum politik melakukan usaha untuk mengurangkan dan menghentikan penyebaran maklumat politik tidak benar.
Kohilan juga berkata tidak semua pihak bukan partisan menyokong pembangunan kapasiti (kepimpinan) kepada parti-parti politik oleh organisasi, institut dan yayasan asing dan ia perlu ditanggapi sebagai ancaman terhadap proses pilihan raya.
"Malaysia mesti kekal terbuka kepada dunia tanpa mengurangkan kedaulatan kita atau menjejaskan identiti kita," katanya.
Najib: IRI lebih teruk dari surat CIA
Dalam mempertahankan hubungan kerja Pakatan Harapan dengan IRI, Nurul mendakwa institut itu juga bekerjasama dengan Gerakan dan BN juga.
Gerakan adalah parti komponen BN sehingga keluar daripada gabungan itu pada 23 Jun.
Pemimpin HARAPAN menolak dakwaan gabungan itu bekerjasama dengan IRI menjelang pilihan raya umum 9 Mei untuk menjatuhkan BN.
Sementara itu, pemimpin-pemimpin bekas gabungan parti pemerintah itu, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, meminta siasatan dibuat terhadap perkara itu.
Najib juga mendakwa kaitan HARAPAN-IRI lebih teruk daripada kontroversi surat CIA, yang menyebabkan beberapa pihak menuduh pentadbirannya melakukan khianat.
IRI juga menafikan bekerja bersama pembangkang sebelum ini untuk menjatuhkan BN. IRI juga mendakwa turut mempunyai hubungan kerja dengan parti-parti BN.
Dalam perkembangan berkaitan, PSM menafikan dakwaan Tony Pua bahawa semua parti politk di Malaysia tanpa mengira kecenderungan telah menyertai sesi latihan anjuran IRI.
PSM tak naif agenda AS
Mengulas pada hantaran Facebook, PSM berkata tidaklah terlalu naif untuk membaca agenda kerajaan Amerika Syarikat.
"Bukan lagi rahsia bagaimana pegawai, media, diplomat, kedutaan AS bekerja untuk mempengaruhi keputusan proses demokratik dalam negara.
"Manakala beberapa anggota parti politik atau CSO (organisasi masyarakat sivil) juga menjadi teruja apabila mendapat undangan IRI, National Endowment for Democracy (NED) atau malahan ketika mereka berpeluang bertemu presiden AS terdahulu Barack Obama sewaktu lawatannya ke Malaysia, PSM tidak akan terpedaya dengan tindakan sedemikian," kata kenyataan parti itu.
Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining memberitahu forum anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) pada 12 Julai lalu, mendakwa pertubuhannya telah bekerja untuk 'mengukuhkan' parti pembangkang di Malaysia tetapi tidak menyediakan butiran lanjut.
Twinning mendakwa bertemu dengan beberapa pegawai kanan HARAPAN selepas kekalahan kerajaan BN di 'pejabat Perdana Menteri'.
Daniel Twining bagaimanapun berkata IRI tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia.
"Ia reaksi kepada korupsi, nepotisme dan kronisme. Ia tiada kaitan dengan kita. Ia (suasana) klimaks yang logik terhadap salah guna kuasa di negara Asia Tenggara yang kaya itu," kata Twinning.
IRI merupakan salah satu daripada beberapa badan pemikir yang didanai oleh National Endowment for Democracy (NED) yang dibiayai langsung daripada Kongres AS.
Walaupun, badan-bdan ini sepatutnya bertujuan menyebarkan demokrasi di seluruh dunia, IRI sering dikaitkan melatih pembangkang atau pemimpin rampasan kuasa, antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Egypt dan Tunisia.

