Kisah tragis warga emas 6 tahun hidup dalam khemah
Pasang khemah dalam rumah yang sudah pun usang dan uzur. Itu yang mampu dilakukan Faridah Ahmad, 60, bagi memastikan abangnya yang mengalami masalah mental berlindung dari hujan dan panas, di Kampung Sungai Korok, di Jitra.
Faridah, seorang ibu tunggal, berkata abangnya Hamdan Ahmad, 63, tinggal di bawah khemah itu sejak enam tahun lalu kerana dia tidak mampu membaiki bumbung rumah pusaka yang bocor dan reput yang pernah diterbangkan angin.
“Hampir 70 peratus bumbung rumah ini bocor dan reput kerana tidak dapat diganti dengan yang baharu kerana saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 dan abang dapat RM300 sebulan.
“Jumlah bantuan ini hanya cukup untuk membeli makanan dan ubat-ubatannya.
“Nak harapkan kepada anak tunggal yang baharu bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak menentu memang tidak mampulah (dia),” katanya kepada pemberita di Jitra, hari ini.
Katanya, selain bumbung rumah, beberapa bahagian rumah hanya menunggu masa untuk menyembah bumi kerana dimakan anai-anai.
Faridah berkata, Hamdan yang terlantar menyebabkan segala urusan hariannya seperti mandi, makan dan menukar pakaian dilakukan beliau dan anak tunggalnya, Ridzwan Shafie , 35.
“Saya mengharapkan abang dibantu kerana kami tak mampu membawa abang tinggal bersama kerana keadaan rumah yang sempit dan tidak mempunyai bilik tidur,” katanya yang mengharapkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dapat membantu membina rumah baharu buat abangnya itu.
Dalam pada itu, nasib yang menimpa Faridah dan Hamdan mendapat perhatian dari Sukarelawan Kebajikan Fakir Miskin yang bersedia membantu mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan negeri.
Presidennya, Left (B) Baharin Baharom berkata, pihaknya akan membantu Faridah untuk mendapatkan bantuan rumah baharu ataupun membaik pulih rumah sedia ada.
“Kami akan bawa perkara ini ke pengetahuan kerajaan negeri dan agensi berkenaan supaya Hamdan dapat tinggal di rumah yang lebih selesa seperti orang lain,” katanya yang turut menghulurkan bantuan barangan makanan keperluan.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Faridah di talian 0173454685.
- Bernama

