Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya jumpa 'orang Singapura' mengenai HSR - Azmin
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 6:51 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan laporan berita Singapura bahawa beliau tidak bertemu pegawai daripada kementerian pengangkutan (MOT) republik itu bagi berbincang mengenai projek kereta api laju HSR.

Beliau turut menjelaskan ketika beliau memberitahu media mengenai pertemuan tersebut, beliau tidak menyebut pegawai berkenaan daripada MOT.

"Laporan berita itu betul.

"Ketika saya menyebutnya kepada kamu semalam, adakah saya kata saya bertemu 'pegawai daripada MOT'?" Soal beliau ketika ditemui di lobi parlimen petang ini.

Ketika diminta mengulas lanjut pegawai yang ditemuinya, menteri itu menjawab: "Singaporean (orang Singapura)."

Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Azmin menjelaskan pertikaian mengenai pertemuan tersebut.

Semalam, Azmin berkata beliau telah bertemu dengan beberapa pegawai kanan di Singapura bagi membincangkan projek HSR ketika melawat Menteri Dalam Negeri Tan SRi Muhyiddin Yassin yang sedang mendapat rawatan di republik itu.

Mesyuarat rasmi tengah Ogos

Pemimpin PKR juga memaklumkan pertemuan itu sebagai "sangat positif."

Bagaimanapun, pada petang ini Azmin berkata suatu mesyuarat rasmi dengan pegawai Singapura mengenai projek HSR akan berlangsung pada pertengahan Ogos ini.

"Mereka pada awalnya mencadangkan (kami bertemu) sebelum 31 Julai, tetapi seperti yang saya katakan kami sangat sibuk dengan parlimen dan beberapa isu dalam negeri... Kami akan menetapkan tarikh mesyuarat itu tidak lama lagi," jelasnya lagi.

Azmin berkata 'kesemua kemungkinan' mengenai projek itu akan dibentangkan apabila kedua-dua pihak bermesyuarat secara rasmi. Beliau enggan menjelaskan butiran terperinci tentang hal itu.

Sejak menguasai Putrajaya, pentadbiran Pakatan Harapan telah berjanji untuk menyemak semula projek tersebut kerana dianggap terlalu mahal dan tidak menguntungkan.

Namun, pembatalan projek itu akan mengakibatkan kemungkinan dikenakan denda yang besar.

Projek itu diperkenalkan pentadbiran Najib bagi mempercepat waktu perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Singapura menjadi 90 minit.

Terminal HSR di Kuala Lumpur dirancang di Bandar Malaysia, projek pembangunan yang suatu ketika pernah dimiliki syarikat yang terpalit skandal, 1MDB.

Lihat Komen
ADS