Menteri Industri Utama Teresa Kok mempertahankan pelantikan bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, meskipun Mohd Bakke merupakan pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB pada satu ketika dahulu, beliau telah meletakkan jawatan kerana kecewa dengan salah laku dalam 1MDB, apabila pemindahan wang secara kontroversi dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah.

Tambahnya, Mohd Bakke telah menunjukkan kemarahan dan ketidakpuashatian terhadap apa yang telah berlaku dalam 1MDB ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

"Tan Sri Mohd Bakke adalah seorang yang berintegriti tinggi. Beliau merupakan tokoh korporat yang dihormati dengan pengalaman meluas dalam industri minyak sawit. Negara akan mendapat manfaat daripada kepemimpinan dan pengalaman beliau dalam mencapai matlamat Kerajaan membawa industri ke tahap yang lebih tinggi. Sumbangan beliau juga diakui oleh pemain industri yang memberi reaksi positif terhadap pelantikannya.

"Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan Tan Sri Mohd Bakke untuk memimpin MPOB di samping membantu Kerajaan meningkatkan usaha menangkis kempen anti-minyak sawit terhadap komoditi negara, dan dalam usaha meningkatkan prestasi industri minyak sawit.

Saya amat yakin beliau akan melaksanakan peranan baharunya di MPOB dengan penuh komitmen dan dedikasi," kata Kok.

[Baca berita penuh]