Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan PAS yang Barisan Nasional (BN) sedang merangka akta untuk membenarkan mana-mana individu menukar agama apabila berumur 18 tahun ke atas.

"Ini satu fitnah, satu dakwaan palsu semata-mata. Apabila seorang itu beragama Islam, tiada peruntukan undang-undang untuk pisahkan dia daripada agama Islamnya.

"Saya percaya pengundi di sini tahu menilai antara yang hak dan batil, antara fitnah dan benar," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Kampung Pauh, Pasir Mas semalam.

Timbalan Perdana Menteri juga menyifatkan tindakan PAS memperbesar-besarkan isu seorang wanita China diarah ketuk ketampi dan berbogel di lokap polis dalam kempennya, menunjukkan parti itu ketandusan modal politik bagi meraih undi dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, BN memang telah menjangka parti itu akan membuat apa sahaja, termasuk memperbesar sesuatu isu untuk kepentingan politik mereka.

"Kita dah jangka perkara ini dan kita berharap pengundi di sini tidak akan terpedaya dengan dakwaan palsu PAS itu.

"Apa-apa yang kita buat adalah mengikut peraturan dan saya percaya pengundi di Pengkalan Pasir tidak akan terpedaya dengan apa yang diperkatakan PAS," katanya.

Perbesar masjid

Beliau yakin para pengundi di Pengkalan Pasir akan membuat pemilihan yang tepat pada 6 Disember ini dengan memilih BN demi masa depan generasi akan datang.

Terdahulu, Najib yang menghadiri taklimat pengurusan masjid itu, berjanji kerajaan akan menimbang permohonan memperbesarkan lagi masjid yang sudah tidak dapat menampung jumlah kariah.

"Kita minta pihak masjid mendapat penilaian dari pihak jurutera daerah terlebih dahulu sama ada, kalau perlu, kita naikkan setingkat lagi masjid ini," katanya.

Menurutnya, jurutera tersebut juga akan membuat penilaian kos keseluruhan pembesaran masjid itu serta melihat sejauhmana kekukuhan struktur bangunan secara keseluruhan.

Najib juga menafikan bahawa cadangan pembesaran masjid tersebut ada kaitan dengan kempen pilihanraya sekarang.

Sebaliknya, kata beliau, memang menjadi tanggungjawab kerajaan BN untuk berbuat sedemikian setelah PAS gagal berbuat sesuatu, termasuk untuk membesarkan masjid.

Kira-kira 200 kariah masjid berjemaah bersama Najib, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon BN Hanafi Mamat.

Najib kemudiannya mengunjungi beberapa kampung berdekatan untuk bertemu penduduk.