Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dokumen 355 muka surat dalam CD, Shafee kata pendakwa tak adil

KEMASKINI | Peguam utama kepada Datuk Seri Najib Razak mendakwa pihak pendakwaan tidak bersedia melakukan pendakwaan terhadap anak guamnya apabila memberikan dokumen dalam bentuk cakera padat di saat-saat akhir.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihak pendakwaan juga tidak berlaku adil apabila menyerahkan dokumen berkenaan selepas diminta berminggu-minggu lamanya.

"Dokumen baru bagi hari ini itu pun dalam bentuk CD, dia tak print. Mereka tak bersedia langsung, tak bagi dokumen yang fizikal. Dia kata semuanya dalam (CD) ini.

"Pernyataan bertulis Najib juga baru hari ini dia (pendakwa) bagi. Sepatutnya pada hari pertuduhan dia dah bagi semua. Nampak sangat pendakwa raya tidak bersedia dan tidak berlaku adil setakat ini," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu katanya, pihak pendakwa juga memberikan dokumen berkenaan selepas tiga kali diminta berbuat demikian.

"Mereka kata dah lama siap (dokumen berkenaan) tetapi hari ini baru dia bagi.

“Kita minta banyak kali sebab Orang Kena Tuduh ada hak untuk lihat apa dia bukti yang kamu (pendakwaan) katakan dia bersalah, baru dia boleh buat dia punya pembelaan.

"Jadi kita beritahu hakim, tak boleh tergesa-gesa ambil tarikh perbicaraan, sebab kita kena tengok dulu dokumen tersebut, kena kaji dulu dan baru boleh pilih tarikh," katanya.

Pada Julai lalu, Najib, 65, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun Najib mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan itu.

Hari ini pula, Najib menghadapi tiga lagi pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

 

Lihat Komen
ADS