Beratus setinggan Hulu Kelang hilang tempat tinggal
Kira-kira 400 setinggan yang diusir dari beberapa perkampungan di kawasan Hulu Kelang, Selangor membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur pagi ini.
Kira-kira 400 setinggan yang diusir dari beberapa perkampungan di kawasan Hulu Kelang, Selangor membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur pagi ini.
Wakil setinggan terbabit, Ahmad Nordin Yusop menyerahkan satu memorandum kepada Suhakam mengenai pengusiran mereka.
Jurucakap mereka, Baharuddin Ismail berkata, keluarga setinggan terbabit diusir oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
"Setinggan terbabit datang dari Kampung Batu 8, Kampung Fajar dan Kampung Bukit Permai," katanya.
MPAJ menghantar notis pada 15 November lalu meminta mereka mengosongkan rumah dalam tempoh 14 hari dan jika ingkar akan diusir.
Bagaimanapun, menurut Baharuddin, tindakan MPAJ itu bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, tetapi juga melanggar Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.
Penduduk terbabit, katanya, telah mendiami kawasan setinggan berkenaan lebih 40 tahun tanpa bantahan mana-mana pihak. Perkampungan mereka juga turut mendapat bekalan air dan elektrik dari pihak berkuasa.
"Melalui program penempatan semula, penduduk sedia berpindah ke tempat sesuai sehingga rumah kami siap dibina," katanya.
Baharuddin berkata, setinggan berkenaan adalah golongan miskin dan ada yang lanjut usia dan tidak mampu membeli rumah baru atau menyewa di tempat lain.
Katanya, ada keluarga terbabit yang bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak dapat bekerja, termasuk lumpuh.
Sehubungan itu, mereka meminta Suhakam memberi perhatian terhadap masalah berkenaan, sekurang-kurangnya membenarkan mereka tinggal di rumah mereka sekarang sehinggalah rumah ganti siap dibina dan diberi bayaran gantirugi sewajarnya.

