Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Dulu kata Najib ambil duit dari Najib, sekarang HARAPAN pula'

Sekretariat Peguam Muda Pergerakan Pemuda Umno mempersoalkan tindakan kerajaan melantik peguamcara daripada firma guaman yang diasaskan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi memfailkan tuntutan ke atas kapal mewah, Equanimity.

Pengerusi sekretariatnya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya berpandangan pelantikan itu boleh menimbulkan konflik kepentingan antara peranan peguam negara dan pemilik firma guaman tersebut.

"Konflik kepentingan ini bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang jelas menyebut dan berjanji akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara dan mengembalikan kedaulatan undang-undang dalam menjamin kebebasan agensi-agensi penting kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang.

Nik Saiful Adli berkata, sebelum ini HARAPAN sering melaungkan dalam ceramah-ceramah mereka menggambarkan contoh konflik kepentingan melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Najib minta duit daripada Najib, diluluskan oleh Najib kepada Najib, kini ia seoalah-olah berbalik kepada mereka (HARAPAN)," ujarnya.

Ungkapan itu sebelum ini dipopularkan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu ketika berceramah pada kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu bagi menggambarkan jawatan-jawatan yang dipegang Najib.

Sementara itu, Nik Saiful Adli yang juga exco Pemuda Umno turut menggesa siasatan terhadap kapal mewah berkenaan dijalankan dengan telus tanpa ada agenda tersembunyi untuk kepentingan politik semata-mata.

"Rakyat berhak mendapat laporan telus berkaitan setiap isu yang disiasat.

"Jangan pula selepas ini ia menjadi seperti siasatan kes 1MDB terhadap Najib, berakhir dengan keputusan bahawa akaun beliau tiada kaitan dan tiada tuduhan berkaitan 1MDB," katanya.

Lihat Komen
ADS