Perkhidmatan bas percuma yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas akan dilancarkan pada 20 Ogos depan di Melaka Sentral di sini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abd Wahab berkata perkhidmatan bas percuma itu akan melibatkan laluan Melaka Sentral-Hospital Melaka-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC); dan Melaka Sentral-Pasar Transit Melaka.
Beliau berkata perjalanan bas dua hala melibatkan jauh keseluruhan kira-kira 13km itu akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Panorama Melaka Sdn Bhd dengan kos kira-kira RM1.3 juta setahun.
“Tiga bas (yang terlibat dalam laluan) itu akan menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) bertepatan dengan status Melaka sebagai negeri yang melaksana teknologi hijau sebagai dasar pertumbuhan dan perkembangannya.
“Kekerapan bas (tiba) di satu-satu hentian pula adalah kira-kira 45 minit bergantung kepada keadaan aliran trafik di kawasan sekitar," katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka hari ini.
Mohd Sofi berkata Ketua Menteri Adly Zahari dijadual melancarkan perkhidmatan bas percuma itu dan ia merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama masyarakat luar bandar di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah keseluruhan bas henti-henti yang beroperasi di negeri itu adalah sebanyak 26 buah pada masa ini berbanding 17 buah sebelum ini.
"Kita telah mengadakan perjanjian dengan tiga buah syarikat yang membekalkan bas dan mereka telah bersetuju untuk membekalkan jumlah bas seperti diminta. Oleh itu, kita menyasarkan sebelum atau pada 31 Ogos depan jumlah bas yang akan beroperasi adalah 40," katanya.
- Bernama
