Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rasmi: Anwar menang Presiden PKR tanpa tanding

PEMILIHAN PKR | Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diumum secara rasmi menang tanpa bertanding jawatan presiden parti setelah pencalonan disahkan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP).

Keputusan diumum Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din dalam satu sidang media di Petaling Jaya, petang ini.

Bagaimanapun, katanya, Anwar hanya akan menjalankan peranannya sebagai presiden selepas Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung pada 16-17 November depan.

"Sehingga itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai presiden parti," katanya.

Di majlis itu Rashid turut mengumumkan proses bantahan dan rayuan pencalonan semua peringkat pemilihan PKR 2018 dibuka mulai hari ini kecuali bagi negeri Selangor yang hanya akan melaksanakan proses pencalonan pada 12 Ogos ini.

Kelewatan itu kerana Selangor perlu memberi tumpuan kepada urusan pilihan raya kecil Sungai Kandis pada awal bulan ini.

Nama-nama mereka yang menghantar pencalonan mulai hari ini dipamer di ibu pejabat parti dan negeri-negeri termasuk bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta di laman web rasmi parti.

Bantahan hingga 11 Ogos

"Bantahan boleh dibuat mulai hari ini hingga 11 Ogos, manakala proses rayuan pula bermula selepas itu hingga 14 Ogos, kita jangka senarai calon yang layak bertanding akan dimuktamadkan pada 16 Ogos," katanya.

Bantahan dan rayuan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Panel Bantahan, Rayuan dan Disiplin yang dipengerusikan oleh Dr Syed Husin Ali.

Antara perkara yang dipertimbangkan ialah tempoh menjadi ahli, status bankrap dan juga masalah disiplin. Selain itu calon yang belum menempuh tempoh setahun menjadi ahli juga tidak layak bertanding kecuali dengan kebenaran presiden parti.

Bagi pemilihan kali ini sebanyak 10,997 pencalonan diterima daripada semua peringkat cabang negeri kecuali Selangor.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden, dua calon mengemukakan pencalonan iaitu penyandang Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

Bagi jawatan Naib Presiden 12 calon mengemukakan pencalonan iaitu William Leong (Ahli Parlimen Selayang), Michael Tamil (bekas ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya), Zuraida Kamarudin (Ahli Parlimen Ampang), Prof. Datuk Dr G.Balasubramaniam, Azan Ismail (Pengerusi PKR Terengganu), K. Vasantha Kumar, Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani), dan Kesavan Subramaniam (Ahli Parlimen Sungai Siput).

Mereka yang akan mempertahankan jawatan berkenaan ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Xavier Jayakumar (Ahli Parlimen Kuala Langat), Tian Chua (bekas anggota Parlimen Batu) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya).

Manakala bagi 20 jawatan anggota MPP, sebanyak 88 pencalonan diterima.

Kira-kira 800,000 anggota PKR layak mengundi calon mereka dalam pemilihan yang akan berlangsung secara berperingkat mengikut negeri dari 14 September hingga 10 Oktober depan melibatkan 218 cabang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS