Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Imigresen ASEAN (DGICM) ke-22 sepakat akan membangunkan sebuah portal bagi memudahkan perkongsian maklumat dan permohonan visa di setiap negara anggota ASEAN.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata semua rakan sejawatannya yang mewakili setiap negara bersetuju dengan idea tersebut kerana ia memudahkan mereka mengakses maklumat dan data-data setiap individu yang keluar masuk sesebuah negara.

“Idea itu merupakan idea asal kita yang ingin melihat setiap negara ASEAN yang bukan sahaja berkongsi data-data mereka malah memberi penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi oleh jabatan imigresen setiap negara.

“Di dalam portal itu, akan dimuatkan dengan pelbagai informasi berkaitan imigresen, kemudahan permohonan visa dan maklumat tentang sektor pelancongan di negara-negara ASEAN.

“Portal ini akan dibangunkan oleh Malaysia dan mungkin, ia dapat direalisasikan menjelang tahun 2020 nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan DGICM ke-22 di Hotel Royale Chulan, di ibunegara semalam.

Mustafar berkata idea membangunkan portal itu masih di peringkat kajian kerana ia memerlukan kerjasama oleh semua negara anggota ASEAN dalam memberikan maklumat berkaitan imigresen.

“Kami juga turut mengambil kira sudut pandang setiap negara kerana setiap negara mempunyai ketetapan kerja, undang-undang dan pematuhan standard yang berlainan,” tambahnya.

Di samping itu, wakil negara-negara anggota ASEAN turut memuji tindakan tegas pihaknya dalam melaksanakan Ops Mega 3.0 yang bermula pada 1 Julai lalu dalam membanteras pendatang asing tanpa izin.

Tegasnya, setiap pihak tidak boleh menyalahkan PATI semata-mata kerana kewujudan mereka di negara ini juga berpunca daripada majikan dan pemain industri.

“Majikan dan pihak industri juga perlu memainkan peranan penting dengan menggaji pekerja yang sah, malah sehingga semalam, kami mengesan 144 majikan yang melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa izin dan tindakan juga sudah diambil,” kata Mustafar.

Tambah beliau, dalam tempoh 1 Julai sehingga semalam, seramai 22,760 pekerja asing diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,270 ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

- Bernama