Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan Johor guna PBT, ketua kampung sebar pengaruh politik'

ULASAN | Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ketua kampung adalah mereka yang kita gelar sebagai kerajaan ketiga. Mereka adalah pelaksana dasar, entiti yang berhubung dan berinteraksi dengan masyarakat secara langsung dan merupakan kelompok paling hampir dengan rakyat.

Setiap isu tempatan akan disuarakan kepada mereka untuk diangkat dan diberikan perhatian (selain melalui wakil-wakil rakyat).

Justeru, fungsi dan peranan mereka amat penting dan kritikal. Keupayaan mereka menjalankan tugas, mengenal pasti isu dan menguruskan masalah setempat adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.

Ahli majlis dan ketua kampung adalah cerminan tidak langsung kerajaan dan merupakan mereka yang amat diharapkan oleh masyarakat sekeliling. Paling penting, mereka mestilah golongan yang neutral atau non-partisan serta bersedia untuk berkhidmat dengan baik dan penuh kesungguhan.

Perkara ini menjadikan setiap calon yang dilantik mestilah terdiri daripada mereka yang mempunyai kebolehan, pengalaman dan perwakatan yang layak dan bersesuaian.

Pendekatan asal boleh, tangkap muat dan semberono dalam perlantikan mereka akan menyebabkan khidmat kepada masyarakat terganggu dan gagal.

Jadi, tidak pelik jika BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) kedua-duanya sentiasa mengutarakan naratif pemerkasaan entiti kerajaan ketiga ini dalam pelbagai aspek. Malah, perkara ini diutarakan sebagai salah satu tawaran utama dalam kempen PRU ke-14 yang lepas.

Antaranya adalah untuk memastikan ketua kampung dan ahli majlis terdiri daripada mereka yang pakar, profesional, berkelayakan, orang tempatan, telus dan tidak mempunyai pengaruh politik. Ini sekaligus menjadikan pemilihan calon dan pelantikan mereka untuk mengisi dan menggalas tugas kerajaan ketiga amat penting dan tidak boleh diambil mudah.

Malangnya, perkara yang sebaliknya berlaku dalam pemilihan dan perlantikan ahli majlis dan ketua kampung di Johor. Bukan sahaja pemilihan dan penyenaraian calon yang dilakukan tidak menggembirakan masyarakat sekeliling. Malah, terdapat perkara-perkara yang amat mengecewakan dilakukan oleh kerajaan negeri. Antaranya:

Calon-calon yang dinamakan sebagai ahli majlis tidak terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman seperti yang dijanjikan oleh HARAPAN. Sebaliknya, kredibiliti serta latar belakang calon-calon yang dinamakan tidak menggambarkan keupayaan serta pengalaman mereka dalam bidang pengurusan isu tempatan.

Terdapat calon-calon import yang bukannya dari kalangan penduduk setempat dan orang tempatan. Perkara ini menyebabkan mereka akan mengalami kesukaran serta tidak faham isu-isu tempatan yang mesti diselesaikan.

Malah, ia bercanggah dengan aspirasi dan fungsi ahli majlis dan ketua kampung selaku pemimpin dan pembawa suara masyarakat tempatan.

Tidak ada pembaharuan

Calon-calon yang dinamakan tidak kelihatan bebas dan non-partisan. Sebaliknya mereka kelihatan mempunyai kecenderungan politik. Sedangkan, ini adalah perjuangan lantang dan perkara yang sangat mahu dielak dan diperbetulkan oleh HARAPAN.

HARAPAN gagal memberikan justifikasi atau penerangan tentang apakah kelebihan dan nilai tambah yang akan dibawa oleh setiap calon-calon yang dinamakan tersebut.

Tidak berlaku perjumpaan atau tindakan mendapatkan maklum balas atau input dari masyarakat setempat berhubung siapakah calon-calon yang dirasakan layak dan sesuai oleh mereka untuk diangkat sebagai ahli majlis dan ketua kampung. Perkara ini sepatutnya menjadi pendakatan baru dan nilai tambah yang lebih telus oleh HARAPAN.

Penamatan atau pemberhentian khidmat serta-merta ahli-ahli majlis dan ketua kampung sebelum ini tidak menggambarkan HARAPAN sebagai parti yang tahu berterima kasih dan berjiwa besar.

Senario ini menyebabkan ia tidak keterlaluan untuk kita semua merumuskan secara umum bahawa:

Nampaknya tidak akan ada pembaharuan dan penambahbaikan yang akan berlaku dalam PBT dan perkhidmatan ketua kampung.

Ia menunjukkan seolah-olah HARAPAN sekadar mahu membalas dendam kepada BN dengan membuang serta menamatkan khidmat ahli majlis dan ketua kampung selama ini,

Ia kelihatan bahawa HARAPAN cuba menjadikan PBT dan ketua kampung sebagai landasan melebarkan pengaruh politik dan perkara ini tidak sepatutnya dilakukan dalam organisasi masyarakat dan kerajaan ketiga.

Umno dan pembangkang di Johor akan terus memantau perkara ini, khususnya dalam memastikan ahli-ahli majlis dan ketua kampung yang telah dilantik secara rasmi kelak, benar-benar menggalas tanggungjawab ini dengan baik.


DATUK IR HASNI MOHAMMAD ialah ketua pembangkang DUN Johor.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS