Bursa M'sia dibuka rendah, namun melantun semula kemudian
Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini tetapi melantun semula beberapa minit kemudiannya berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati.
Pada 9.08 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.12 mata kepada 1,805.85 daripada paras penutup 1,804.73 pada Rabu.
Indeks itu dibuka rendah turun 1.19 mata kepada 1,803.54.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 115 dengan 211 tidak berubah, 1,409 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 136.0 juta unit bernilai RM85.14 juta.
Maybank Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata kelemahan di pasaran Amerika Syarikat semalaman, penurunan harga minyak mentah dunia, ditambah dengan kebimbangan yang tercetus semula terhadap ketegangan perdagangan, menjejaskan sentimen hari ini.
"Secara teknikalnya, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan antara paras 1,770 mata dan 1,810 mata, manakala sokongan rendah pada 1,748 mata dan 1,710 mata," kata bank pelaburan itu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.92, Public Bank dan Tenaga meningkat 10 sen setiap satu masing-masing kepada RM24.42 dan RM15.68, Petronas Chemicals menokok 12 sen kepada RM9.16, manakala CIMB turun tiga sen kepada RM5.89,
Dalam kalangan kaunter cergas, Radiant Globaltech meningkat 1.5 sen kepada 40 sen, BCM Alliance dan Vizione naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 20 sen dan 14 sen, manakala Sapura Energy jatuh setengah sen kepada 59 sen dan Sumatec tidak berubah pada empat sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Far East dan Ibraco meningkat 20 sen setiap satu masing-masing kepada RM14.40 dan 55.5 sen, Hong Leong Industries naik 12 sen kepada RM11.70, manakala Cahya Mata dan Malaysian Pacific menokok lapan sen setiap satu masing-masing kepada RM3.25 dan RM11.30.
Indeks FBM Emas naik 1.51 mata kepada 12,770.98, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.68 mata kepada 12,952.09 dan Indeks FBM Ace menokok 14.91 mata kepada 5,475.65.
Indeks FBMT 100 turun 1.33 mata kepada 12,548.91 dan FBM 70 susut 35.68 mata kepada 15,596.53.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 1.22 mata kepada 17,571.76, tetapi Indeks Perladangan susut 4.12 mata kepada 7,706.88 dan Indeks Perusahaan turun 6.40 mata kepada 3,295.19.
- Bernama

