Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'K’jaan tergesa-gesa hapus akta antiberita tak benar'

ULASAN l Kerajaan Pakatan Harapan dilihat begitu tergesa-gesa untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang baru sahaja diwarta pada 11 April lalu tanpa melihat jauh ke hadapan.

Tindakan ini juga dilihat sebagai satu lagi langkah populis kerajaan Pakatan Harapan.

Walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah penyebaran berita palsu tidak dapat dikawal secara efektif dan pantas berikutan perkembangan
teknologi semasa yang semakin pantas dan kompleks.

Apatah lagi undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan; dan Akta Komunikasi dan Multimedia telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan pengedaran teknologi terkini.

Sementara itu, jika dirujuk janji 27 Manifesto HARAPAN, Akta Antiberita Tidak Benar ini tiada dalam senarai manifesto tersebut.

Antara undang-undang yang dijanjikan untuk dimansuhkan adalah Akta Pencegahan Keganasan 2015(POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan lain-lain.

Namun saya berpendapat adalah lebih baik kerajaan memanfaatkan sidang kali ini dengan memberi keutamaan kepada undang-undang yang diperlukan rakyat Malaysia seperti Undang-undang Gangguan Seksual, pindaan kepada Fasal 88A pada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA) dan lain-lain.

Justeru, kerajaan seharusnya tidak terburu-buru memansuhkan akta sedia ada kerana pindaan atau penggubalan kepada mana-mana akta itu dibuat dengan penilitian yang mendalam. Sekiranya kerajaan HARAPAN merasakan terdapat fasal/seksyen yang tidak lagi bersesuaian atau lapuk, pindaan boleh dilakukan tetapi bukan dengan memansuhkan.

Akta Antiberita Tidak Benar ini bertujuan melindungi mereka yang menjadi mangsa kepada berita palsu untuk mendapat keadilan. Malah tiada bukti yang menunjukkan akta ini telah disalah gunakan oleh kerajaan terdahulu atau menzalimi sesiapa.


DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID adalah ahli parlimen Pengerang dan bekas menteri di jabatan perdana menteri.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS