Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan guna jawatan dalam k'jaan untuk raih undi, gesa Anwar

PEMILIHAN PKR | Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kelakuan bersih dan saksama bagi pemilihan parti itu yang akan berlangsung tak lama lagi.

Anwar yang akan menggantikan Wan Azizah sebagai presiden berkata calon yang mempunyai jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya menyalahgunakan kedudukan untuk membuatkan anggota parti mengundi mereka.

"Timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar dan exco tak boleh ugut mana-mana ahli untuk raih undi.

"(Setakat ini) belum ada laporan rasmi tetapi kebimbangan itu telah disuarakan. Ini mesti dihentikan," katanya sambil menyifatkan ia satu salah guna yang tidak akan dikompromi.

Beliau berkata PKR ditubuhkan untuk melawan rasuah dan salah guna kuasa, justeru parti itu perlu sentiasa menegakkan idealisme itu.

Sementara itu, Wan Azizah menggesa semua calon untuk berkempen dengan semangat persaudaraan dan tidak membuat serangan peribadi.

"Tiada selar menyelar, tiada sebarang serangan peribadi," katanya.

Pemilihan PKR 2018 bakal menyaksikan pertembungan antara dua pesaing: penyandang jawatan timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli.

Anwar menang jawatan tanpa bertanding pada Ahad lalu, manakala Wan Azizah tidak bertanding.

Anwar berkata Wan Azizah kekal sebagai presiden sehingga Kongres PKR yang dijadualkan November ini.

Pemilihan PKR akan berjalan dalam masa beberapa minggu, bermula di Kelantan dan Terengganu pada 14 September dan berakhir di Sabah pada 13 Oktober.

Lihat Komen
ADS