Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wang GST milik peniaga tidak 'dirompak' kata Zahid

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetap bersangka baik dengan meyakini RM18 bilion bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sepatut dipulangkan kepada peniaga sebenarnya masih ada.

Kata bekas timbalan perdana menteri itu, beliau percaya wang berkenaan masih berada dalam akaun yang disatukan (consolidated account) milik kerajaan.

“Saya tidak fikir itu satu kehilangan (dana) kerana ia dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan.

“Jadi, wang itu harus berada dalam kumpulan dana yang disatukan itu,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Dua hari lalu, Menteri Kewangan ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat mendakwa kerajaan BN 'merompak' bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Lim Guan Eng sekali lagi membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam dengan berkata audit dalaman dan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati sejumlah RM18 bilion 'hilang' dari tabung bayaran balik GST.

Ekoran dakwaan itu anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

'Serahkan kepada kami'

Mengulas lanjut, Zahid menjelaskan wang bayaran balik GST itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet kerajaan.

“Wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet, sama ada mengikut ucapan belanjawan atau di luar ucapan belanjawan.

“Maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dalam dewan untuk dibahaskan, jadi jangan menuduh dengan tujuan mewujudkan persepsi semuanya kesalahan kerajaan yang lalu,” tegasnya.

Zahid berkata, ini disebabkan kerajaan lepas juga didokong oleh pegawai kerajaan, terutamanya pegawai Kementerian Kewangan.

“Mereka harus berlaku adil terhadap pegawai berkenaan yang menjalankan tugas mengikut prinsip ketaatan kepada government of the day,” katanya.

Zahid berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) juga seharusnya tidak mengamalkan sikap blame game, seolah-olah mereka masih lagi pembangkang.

“Kalau mereka tidak boleh menyelesaikan masalah itu serahkan kepada kami sebagai kerajaan, kami akan selesaikannya dan mencari jalan untuk menyelesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, jika wang tersebut dibelanjakan bagi tujuan-tujuan tertentu ia adalah kecurian.

“Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian,” katanya.

Lihat Komen
ADS