Ahmad Maslan cadang kastam dikorporatkan
Anggota Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mencadangkan agar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dikorporatkan.
Memetik contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ahmad berkata langkah tersebut penting bagi meningkatkan perkhidmatan agensi itu dan memastikan pengutipan cukai lebih berkesan.
“Jika dikorporatkan gaji akan meningkat, lebih kuasa autonomi kepada pihak kastam untuk membuat segalanya.
“(Selain itu) persekitaran kerja yang lebih canggih dan organisasi kastam akan menjadi organisasi yang bertaraf dunia,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Untuk rekod, kerajaan di bawah pentadbiran BN sebelum ini pernah mengkaji cadangan mengkorporatkan JKDM.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga merupakan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) itu juga menggesa agar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) meneruskan usaha yang telah dibuat bagi mengkorporatkan kastam.
“Saya ingin menggesa agar kerajaan HARAPAN agar meneruskan usaha yang telah di buat BN sebelum ini untuk mengkorporatkan kastam,” tambahnya.

