Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Azmin, Zuraida, Tian mahu kerjasama dengan PAS PRU lalu
Diterbitkan:  Aug 9, 2018 5:20 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Di tengah kehangatan bahang pemilihan PKR, naib presiden parti itu, Rafizi Ramli, mendakwa pesaingnya untuk jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selain Azmin, Rafizi turut menamakan dua lagi pemimpin kanan PKR iaitu ketua wanitanya, Zuraida Kamaruddin dan seorang lagi naib presiden, Tian Chua.

Kata Rafizi mereka menyokong kerjasama PKR dengan PAS bagi mengelakkan Pakatan Harapan (HARAPAN) berdepan dengan pertembungan tiga penjuru.

Pendedahan itu dibuat Rafizi selepas tinjauan kaji selidik menerusi telefon dijalankan pihaknya kepada ahli PKR menerima kritikan daripada penyokong Azmin.


Baca: Tinjauan telefon: Ahli PKR dakwa Rafizi ceroboh data peribadi


"Pasukan saya di Invoke bertanggungjawab menjalankan kaji selidik dan memprofil pengundi-pengundi sepanjang kempen PRU ke-14 yang lepas.

"Antara lain, saya bertegas sejak awal bahawa pertandingan tiga penjuru yang melibatkan PAS akan memberi kemenangan kepada PKR/Pakatan Harapan, walaupun saingan saya Datuk Seri Azmin Ali menentang kerjasama dengan Pakatan Harapan dan mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru melalui kerjasama politik dengan PAS.

"Oleh kerana Invoke mempunyai data pengundi yang membolehkan kami membuat kajianlah, maka saya dan sahabat-sahabat berjaya meyakinkan pimpinan untuk meneruskan pertandingan tiga penjuru, walaupun pimpinan lain seperti Datuk Seri Azmin, saudara Tian Chua, saudari Zuraida mahu meneruskan kerjasama dengan PAS," kata Rafizi.

Pada pemilihan PKR yang dijadual bermula 14 September depan, Rafizi akan mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR yang kini disandang menteri hal ehwal ekonomi itu.

Manakala Zuraida akan bertanding merebut jawatan naib presiden dan Tian pula akan mempertahankan jawatannya - juga sebagai naib presiden PKR.

Kedua-dua Zuraida dan Tian dilihat berada dalam kem Azmin.

Pada pilihan raya umum lalu, HARAPAN yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya menumbangkan BN yang telah berkuasa selama 61 tahun.

PAS pula bersendirian membentuk gabungan yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, memenangi dua negeri di Kelantan dan Terengganu.

Menurut Rafizi, tidak ada pihak daripada kalangan pimpinan PKR atau HARAPAN sebelum ini menuduh beliau serta Invoke melanggar undang-undang.

"Satu-satunya pihak sebelum ini yang mendakwa Invoke melanggar undang-undang dan mahu operasi kami ditutup adalah Umno.

"Saya berharap saingan saya tidak meminjam modal kempen yang sama dari Umno dalam saingan ini.

"Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat yang bertanding agar memberi tumpuan kepada wawasan kita untuk memperkuatkan parti, bukannya menyerang dan membuat tuduhan seperti ini," katanya.

Malaysiakini sedang berusaha mengubungi pihak Azmin untuk mendapatkan reaksi.

 

Lihat Komen
ADS